Perbicaraan kes 1MDB di New York: Leissner ‘kambinghitamkan’ Roger Ng?

0
335

TIM Leissner adalah pegawai bank Goldman Sachs yang sebenarnya menjalinkan hubungan ‘penting’ dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya Roger Ng, dedah seorang peguam bela kepada Ng, Marc Agnifilo .

Menurut Agnifilo yang merupakan peguam bela kepada Ng di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis ketika menjelaskan tentang pemeriksaan balasnya terhadap Leissner yang berulang kali menyentuh tentang kehidupan peribadinya.

“Kesemua hubungan yang dibinanya bersifat strategik. Leissner memainkan peranan penting bukan sahaja dalam kapasitinya sebagai staf Goldman Sachs yang cekap malah dalam menjalinkan hubungan secara peribadi,” ujar Agnifilo.

Agnifilo juga mengemukakan hujah untuk menyertakan bukti kandungan e-mel antara Leissner dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia, Rohana Rozhan yang didakwa menjalinkan hubungan dengan Leissner.

“Bukti tersebut adalah relevan memandangkan Leissner memberi keterangan bahawa Ng yang mempunyai ‘hubungan penting’ untuk mencapai perjanjian berkenaan,” kata Agnifilo.

Menurutnya lagi, Leissner melibatkan Ng dalam kesemua ‘urusan’ tersebut sedangkan dia yang bertindak sedemikian dan kadangkala menggunakan ‘hubungan mesra’.

Hakim bagaimanapun menyatakan beliau akan mempertimbangkan sama ada membenarkan bukti tersebut dikemukakan sebelum keputusan dibuat.

Sebelum ini, Ng, 49, yang merupakan bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia dituduh bersubahat melanggar undang-undang antipengubahan wang haram AS membabitkan dana 1MDB.

Dia juga didakwa bersekongkol dengan Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low di bawah skim untuk memberi rasuah kepada pegawai rasmi di Malaysia dan Abu Dhabi serta melakukan penyelewengan melibatkan ratusan juta dolar daripada 1MDB.

Difahamkan, Leissner yang mengaku bersalah pada 2018 merupakan saksi utama kerajaan dalam perbicaraan Ng.

Ketika ini, pasukan pembelaan Ng sedang berusaha membuktikan Leissner sebagai dalang sebenar dalam skandal tersebut dan dia cuba menjadikan Ng sebagai ‘kambing hitam’ bagi mengelakkan hukuman penjara.

Ketika sesi perbicaraan pada awal minggu lalu, Leissner menzahirkan rasa kesal selepas mengakui dia banyak berbohong dan mendedahkan pernah berkahwin dengan dua wanita pada masa yang sama selain memalsukan sijil perceraian.

Dia juga mendedahkan Jho Low meraih sokongan daripada sekutu bekas Presiden AS, Donald Trump untuk ‘penyelesaian’ kes penyelewengan dana 1MDB.

“Dia memaklumkan kepada saya telah bertemu dengan Jared Kusher iaitu menantu Trump di Beijing dan mendapatkan bantuan guaman daripada bekas gabenor Republikan di New Jersey, Chris Christie dengan bayaran AS$10 juta (RM41.9 juta) jika ‘penyelesaian’ itu berjaya,” tambahnya lagi.

Christie dalam satu kenyataan bagaimanapun menegaskan, beliau tidak pernah membuat perjanjian seumpama itu bagi menerima bayaran tersebut jika pertuduhan berkenaan digugurkan sebagai pertukaran untuk pembayaran kepada kerajaan AS.

“Tidak pernah ada perbincangan antara saya atau mana-mana pegawai pentadbiran Trump tentang ‘perjanjian’ tersebut seperti yang didakwa olehnya,” katanya.

Beliau sebenarnya mewakili Jho Low di bawah tindakan rampasan sivil di California yang menyebabkan dia terpaksa menyerahkan AS$700 juta (RM3 bilion) kepada Jabatan Kehakiman AS. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here