[VIDEO] Zulkifli bergegas bersihkan surau dilanda banjir kilat

0
616

WALAUPUN belum bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Larkin, Zulkifli Bujang tidak menunggu untuk turun padang menabur khidmat apabila membantu mangsa banjir, petang tadi. 

Zulkifli bergegas ke kawasan berhampiran Surau Jalan Tiong, Larkin, Johor, selepas dimaklumkan kejadian banjir kilat di kawasan itu.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di situ, sebahagian daripada surau itu ditenggelami air dan lumpur menyebabkan kerosakan teruk pada projek agro yang diusahakan komuniti di kawasan itu.

“Mereka tanam sayur-sayuran, menternak ikan, udang dan sebagainya. Semuanya habis musnah disebabkan air banjir selepas hujan lebat selama beberapa jam. 

“Ini menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000. Anak pokok dan semaian yang baru sahaja mereka usahakan habis musnah,” katanya selepas selesai membantu pihak surau membersihkan kawasan yang terjejas.

Zulkifli turut menunaikan solat Maghrib berjemaaah di surau itu sebelum meneruskan kerja pembersihan. 

Dalam pada itu, Zulkifli yang juga bekas wartawan Bernama TV itu turut menyeru pihak yang bertanggungjawab untuk menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan itu.

“Saya menyeru dan menggesa kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu syarikat pemaju yang melakukan projek jalan keretapi di sebelah Surau Jalan Tiong ini supaya mengambil tindakan yang segera atau membuat langkah yang sewajarnya,” tegasnya.

Pada tahun 2019, kawasan ini pernah ditenggelami banjir akibat limpahan air sungai sehingga paras air mencecah separuh badan.

Zulkifli yang juga Bekas setiausaha akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin antara muka baharu yang ditampilkan oleh PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here