[VIDEO] Selesaikan isu peluang pekerjaan – Pengundi

0
498

ISU peluang pekerjaan yang semakin kritikal perlu diperjuangkan pemimpin dan parti politik pada masa ini.

Muhammad Firdaus Zulkifli, 23 berkata, tidak kisah parti mana yang menang, isu ketiadaan pekerjaan perlu ditangani segera kerana semakin menghimpit rakyat khususnya golongan muda.

“Saya mahukan perubahan yang lebih baik. Perkara paling kritikal selepas pandemik ini bagi saya adalah peluang pekerjaan. 

“Saya sebagai ‘fresh graduate’ terpaksa menganggur selama empat  bulan sebelum mula mendapatkan kerja. Kalau tiada pekerjaan, ekonomi juga tidak akan naik. Itu perkara paling penting bagi anak muda kini,” katanya.

Beliau ditanya harapan menjelang bermulannya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu apabila proses penamaan calon bermula.

Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada 12 Mac nanti ini, membabitkan 2.57 juta pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 pengundi tidak hadir (PTH) Luar Negara.

Muhammad Firdaus turut mengharapkan pemimpin muda dan muka baharu diberi peluang memimpin negeri Johor.

Sementara itu, Mohamad Azwah Ibrahim, 33 berkata, sudah tiba masanya pemimpin muda diberikan tanggungjawab memimpin negeri ini dengan dibantu bersama pemimpin terdahulu yang berpengalaman.

“Saya harap rakyat boleh terima golongan muda untuk menjalankan tanggungjawab. Kalau kita tidak bagi peluang kepada mereka, kita tidak akan pernah tahu. Bagilah peluang kepada anak-anak muda,” katanya.

Seorang lagi pengundi,  Saravanan Rajandran, 29, berkata, malang bagi rakyat jika mana-mana parti yang menang pilihan raya tidak berbakti dan berkhidmat dengan baik.

“Mengundi ini memang penting untuk setiap rakyat Malaysia. Kalau mereka jalankan kerja dengan betul, mesti tiada masalah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here