Isu kerusi Larkin: PKR ingatkan Muda jangan jadi abang besar

0
471

PKR mengingatkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) supaya jangan berlagak sebagai abang besar dalam soal rundingan kerusi antara dua parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberi peringatan keras itu kepada parti pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman ekoran tindakan Muda meletakkan calonnya di DUN Larkin.

“Jika Muda terus berlagak sebagai abang besar seperti ini, maka tiada faedah dan manfaat kerjasama ini dibincangkan serta mereka sebaik-baiknya memilih jalan yang sama seperti Pejuang dan Warisan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah,  tindakan Muda yang memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi Larkin pada PRN Johor kali ini sudah menjejaskan kerjasama dan usaha terhadap muafakat penyatuan parti pembangkang.

Farhash Wafa Salvador menambah, Muda yang pada awalnya sudah ditawarkan tiga kerusi oleh PKR dan beberapa kerusi yang lain oleh DAP dan Amanah perlu menghormati rakan dan runding sebaik-baiknya sebelum proses pemilihan calon diadakan.

“Sikap Muda bukan sahaja boleh menjejaskan keharmonian kerjasama politik, malah konteks yang lebih luas untuk kita pertimbangkan adalah perasaan akar umbi dan kemungkinan yang akan berlaku menjelang hari pengundian,” jelasnya.

Kata beliau, ruang dan peluang masih terhidang buat PKR untuk berbincang semula bersama-sama Amanah dan DAP bagi meletakkan calon di kerusi-kerusi yang sudah diberikan kepada Muda terutamanya Puteri Wangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here