Rusia umum tutup ruang udara untuk pesawat awam

0
356

RUSIA hari ini mengumumkan ruang udaranya ditutup bagi sebarang pesawat awam, khususnya di sempadan barat dengan Ukraine dan Belarus.

Keputusan itu dibuat setelah Ukraine menutup ruang udara untuk pesawat awam kerana risiko tinggi terhadap keselamatan.

Menurut Al-Jazeera, pengawal selia penerbangan Eropah turut mengeluarkan amaran tentang risiko dan bahaya jika terbang di kawasan yang bersempadan dengan Rusia dan Belarus.

Keputusan itu dibuat selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas.

“Penggunaan ruang udara di sempadan barat Rusia dengan Ukraine dan Belarus telah dihentikan sementara berikutan ancaman keselamatan pesawat awam, kerana penggunaan senjata dan jentera militari dikesan,” menurut satu notis.

Perkhidmatan Trafik Udara Ukraine di laman webnya juga memberitahu, ruang udara kini ditutup bagi laluan penerbangan awam bermula 12.45 tengah malam Khamis, dengan perkhidmatan sokongan yang dihentikan.

Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pula berkata, ruang udara di Rusia dan Belarus dalam jarak 100 batu nautika dari sempadan Ukraine juga berisiko.

“Secara khususnya, terdapat risiko sasaran terancang mahupun kesilapan dalam menyasarkan penerbangan awam.

“Kehadiran dan kemungkinan penggunaan sistem tentera di darat dan di udara mencetus risiko tinggi bagi sebarang penerbangan awam yang berada di semua altitud,” ujar agensi itu dalam berita tempatan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan pihaknya menggunakan ‘senjata berketepatan tinggi’ untuk melumpuhkan sistem pertahanan udara, lapangan terbang tentera dan tentera udara di Ukraine.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here