Pengerusi DAP Johor antara 14 calon DAP

0
430

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI DAP Johor, Liew Chin Tong diumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan depan.

Selain Chin Tong yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Marina Ibrahim buat pertama kali akan bertanding di kerusi DUN Senai.

Majlis Pengumuman Calon DAP itu melengkapkan semua 14 calon parti itu yang diumumkan secara berperingkat-peringkat sebelum ini.

Penyerahan watikah pelantikan semua calon itu disempurnakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Senai, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Guan Eng berpuas hati dengan barisan calon yang akan bertanding pada PRN Johor bagi mengulangi kejayaan menang semua kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kita telah membuat beberapa banyak tapisan dan menerusi beberapa perjumpaan. Itu satu proses yang agak ada kesukaran dan sulit namun akhirnya kita capai satu muafakat dalam pemilihan calon.

“Tentunya ada yang kecewa apabila tidak dipilih, itu adalah perkara biasa dan yang penting ialah akhirnya kita dapat bersatu untuk memastikan calon kita menang.

“Ini kerana akhirnya bukan individu yang bertanding itu jadi ukuran tetapi simbol dan logo DAP dan PH yang bertanding, itu yang kita kena menangkan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Selain Chin Tong dan Marina, DAP turut memperkenalkan tiga muka baharu iaitu Ng Kor Sim yang akan bertanding di kerusi DUN Jementah serta juga ahli jawatankuasa DAP Johor, M. Kanan (Bekok) dan bekas Ketua Whip DAP Ahli Majlis Perbandaran Kulai, Wong Bor Yang (Senai).

Bekas ADUN Senai Alan Tee Boon Tsong akan bertanding di kerusi DUN Yong Peng.

Parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu turut mempertaruhkan lapan calon yang akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU-14.

Calon yang akan mempertahankan kerusi mereka ialah Chew Chong Sin Yang akan mempertahankan kerusi Mengkibol, Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Liow Cai Tung (Johor Jaya) dan Ng Yak Howe (Bentayan).

Turut dicalonkan di kawasan Yang dimenangi mereka ialah Yeo Tung Siong (Pekan Nanas), bekas Timbalan Speaker Johor, Gan Peck Cheng (Penggaram), Pembantu Setiausaha Organisasi Dapsy, Eric Ee Chin Li (Tangkak) dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali (Paloh).

Sebelum ini DAP diperuntukkan PH 16 daripada keseluruhan 56 kerusi, tetapi bersetuju menyerahkan kerusi Machap dan Bukit Permai kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here