BNM: Tiada layanan istimewa diberikan dalam pemindahan RM1b 1MDB

0
209

Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan tiada sebarang layanan istimewa diberikan dalam urusan pemindahan wang RM1b milik 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) seperti yang dikatakan dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York, Amerika Syarikat berhubung kelulusan diberikan BNM kepada 1MDB untuk melabur di luar negara pada tahun 2009.

Menurut BNM, semua permohonan pelaburan asing yang dihantar 1MDB tertakluk pada syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

Bank Pusat itu berkata, semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk pada akta yang dikuatkuasakan sebelum tahun 2013 sebelum diganti oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan syarat-syarat serta kriteria yang mengawal pelaburan tersebut adalah telus serta diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

“Kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM,” kata Bank Pusat pada Khamis.

BNM turut mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami bekas gabenor itu.

Dalam hal terbabit, maklumat telah diberikan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada April 2016 selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, jelasnya.

Semalam media melaporkan bekas Ketua Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa BNM membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.

Pemindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya.

Zeti Akhtar Aziz merupakan gabenor BNM ketika itu dan suaminya adalah Tawfiq Ayman.

Leissner, saksi penting dalam perbicaraan bekas Ketua Pelabura Goldman Sachs Malaysia, Roger Ng, menyifatkan penghantaran AS$D1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.

Difahamkan AS$1 bilion itu termasuk AS$700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here