

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Bersatu itu berkata, meskipun terdapat beberapa kelonggaran terhadap ketetapan SOP itu, ia dilihat agak ketat dan kurang praktikal.
“Agak ketat juga kerana hanya boleh berceramah di satu tempat (seperti) bilik gerakan, jadi takkan seluruh rakyat Johor nak datang situ. Contoh, di DUN (Dewan Undangan Negeri) Bukit Permai dan di (kampung) Felda ini sendiri jauh.
“Tidak praktikal bagi saya sedangkan majlis-majlis sosial dibenarkan, kenduri kahwin boleh, jadi apa bezanya … Kalau satu kawasan ada 30,000 pengundi macam mana nak berhubung dengan pengundi,” katanya ketika diminta mengulas berhubung SOP yang ditetapkan SPR bagi pilihan raya negeri itu.
Beliau ditemui pemberita selepas program Ramah Mesra Warga Felda di Felda Taib Andak di Kulai, Johor pada Rabu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Menurut SOP dikeluarkan SPR sebelum ini, penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Johor.
Ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang manakala bagi kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan tidak melebihi lima orang.
Menjelas lanjut, Muhyiddin berkata, ketetapan SOP itu dilihat memberi sedikit kelonggaran tetapi ia tidak memadai memandangkan tempoh berkempen tidak begitu lama. – Bernama