[VIDEO] Terima kasih ‘wira oren’ – selamatkan barang kemas dalam timbunan sampah

0
360

SIAPA sangka, selepas kehilangan barangan cukup berharga, seorang wanita dapat menemukannya semula dengan bantuan pihak yang sering kali dipandang rendah segelintir masyarakat. 

Rohaya Ismail, 31, berterima kasih kepada pekerja am Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kerana menemukan semula barang kemasnya di dalam timbunan sampah.

Rohaya yang juga anggota polis di Balai Telok Ayer Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, berkata, dia sudah reda dengan kehilangan barang kemasnya yang terbuang ke dalam tong sampah. 

“Pada awalnya saya sudah reda apabila barang kemas yang sudah dibuang tidak ditemui, namun siapa sangka Wira Oren (pekerja am MBSP) sanggup berkorban masa dan tenaga membantu menggeledah timbunan sampah untuk mencari semula emas saya sehingga berjaya ditemui semula,” katanya menurut laporan BHOnline.

Rohaya berkongsikan kisah itu melalui laman sosial Facebook miliknya, ‘Yaya Ismail’ sehingga ia tular dan mendapat perhatian warganet yang memuji tindakan mulia sekumpulan pekerja MBSP itu.

Katanya, kejadian bermula apabila dia membuang lampin pakai buang anaknya dan secara tidak sengaja terbuang sekali satu beg kecil yang mengandungi sejumlah emas miliknya yang dibeli dan disimpan sejak berusia 18 tahun.

“Barang kemas itu sangat bermakna kerana saya bukannya berasal dari keluarga senang. Ayah meninggal dunia ketika usia saya 14 tahun. Saya cuba mengumpul emas itu sedikit demi sedikit ketika bekerja kilang untuk kegunaan masa terdesak.

“Saya tidak tahu macam mana ia boleh terbuang, mungkin sebab kalut sangat sehingga sedar ketiadaan satu beg kecil pada jam 7.45 pagi semalam dan ketika itu memang rasa hendak menangis sebab emas itu begitu berharga. 

“Kebetulan abang saya ingin keluar pergi buang sampah pada jam 9 pagi hari sama dan saya minta dia tolong cari tetapi tidak ada, sehinggalah dia jumpa sebuah lori MBSP tidak jauh dari kuarters yang saya diami.

“Mereka (pekerja) minta saya pergi ke depo pembersihan di Tasek Gelugor,” katanya.

Rohaya berkata, dia tidak menaruh harapan tinggi barang kemas miliknya itu ditemui semula, tambahan pula bukan mudah untuk mencarinya dan tindakan itu  tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana perlu mengikut prosedur.

“Saya sudah reda jika tiada rezeki serta serahkan semua urusan kepada Allah. Yang saya tidak sangka, dari pihak atas sehingga bawah sanggup berkorban masa dan tenaga mereka untuk turun mencari dalam timbunan sampah yang begitu banyak.

“Tidak lama kemudian (jam 1.30 tengah hari) abang saya menghubungi melalui panggilan video menunjukkan barang kemas ditemui semula dalam satu beg plastik hitam. Syukur dan terima kasih tidak terhingga buat sekumpulan Wira Oren. Perasaan saya tidak terungkap dengan kata-kata.

“Walaupun ada yang pandang serong terhadap pekerjaan mereka (Wira Oren), bagi saya mereka adalah wira negara yang ikhlas serta jujur apabila sanggup berkorban mencari juga barang kemas saya sehingga jumpa,” katanya yang merahsiakan nilai keseluruhan barang kemas miliknya itu.

Terdahulu, hantaran wanita berkenaan tular di media sosial dengan mendapat ribuan tanda suka dan dikongsi ratusan pengguna FB.

Menurut posting itu, Rohaya turut memberikan sedikit sagu hati kepada pekerja MBSP berkenaan sebagai tanda penghargaan selepas bertungkus-lumus menggeledah, mengorek dan mencari emas miliknya dalam timbunan sampah sehingga ditemui.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here