‘Saya akan terus ratib nama Najib dan mana-mana penyamun rosak negara, tipu rakyat’ – Dr Mahathir

0
505

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau akan terus meratib nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau sesiapa sahaja yang cuba merosakkan negara dan menipu rakyat.

Beliau menyatakan pendirian itu dalam surat kedua yang ditujukan kepada pengundi di Johor hari ini.

Dalam surat yang turut disiarkan dalam laman Facebook miliknya, Dr Mahathir berkata, surat khabar luar negara menggelarkan Najib sebagai ‘plundering idiot’ atau seperti yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu, ‘penyamun tongong’.

Beliau menambah, Mahkamah Rayuan pula menghukum Najib sebagai ‘national embarassment’ atau orang yang memalukan negara.

“Walaupun begita, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk mendapat kembali kekuatan politik. Dia percaya dengan memegang kembali kuasa politik, dia dapat lepas diri dari hukuman.

“Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat dari kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak,” kata bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.

Dr Mahathir memberitahu, tiada dendam peribadi antara beliau dan Najib.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa adik Najib iaitu Tan Sri Nazir Razak sendiri telah menemuinya ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memuncak.

Dr Mahathir mendakwa, Nazir meminta beliau melakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah yang telah dilakukan.

“Tan Sri Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh abangnya.

“Tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah,” jelasnya.

Beliau berkata, banyak lagi yang didedahkan oleh Nazir yang mendedahkan skandal Najib secara terperinci.

Dr Mahathir memberitahu, beliau sebenarnya berasa amat malu meratib nama Najib.

“Dia memalukan negara, bangsa dan agama. Malangnya dia sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.

“Dia berharap rakyat Malaysia akan percaya dia tidak bersalah dan sebenarnya adalah mangsa penganiayaan saya dan musuh-musuh politiknya.

“Ada yang terpengaruh dan percaya dan tampil mempertahankannya malah sanggup memanggilnya Boss, cium tangannya,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan, sebelum skandal 1MDB berlaku, beliau menyokong Najib malah memberi tekanan kepada Tun Abdullah Badawi ketika menjadi Perdana Menteri itu lambat melantik Najib sebagai timbalannya.

“Akhirnya Abdullah lantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Dr Mahathir mengakui, selain percaya Najib layak memegang jawatan tersebut, beliau terhutang budi dengan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kerana membantu kerjaya politiknya.

“Malangnya, Najib bukan seperti bapanya. Tun Razak seorang nasionalis dan pejuang bangsa yang bermaruah.

“Najib pula curi harta negara dengan bantuan Jho Low,” jelasnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Najib yang mendoakan kesembuhannya semasa beliau menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Dalam surat kepada pengundi Johor sebelum ini, Dr Mahathir menyifatkan Najib sebagai seorang individu yang tidak tahu malu walaupun mahkamah telah mendapatinya bersalah.

Najib menyindir kembali Dr Mahathir dengan menyatakan, apabila Pengerusi Pejuang itu meratib namanya, ia bermakna beliau benar-benar sudah sembuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here