Apa salah Muhyiddin terima laporan kewangan negara, soal Marzuki

0
580

DATUK Dr Marzuki Mohamad mempersoalkan kewajaran pihak tertentu membuat laporan polis terhadap kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima laporan prestasi kewangan negara daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Muhyiddin berkata, Muhyiddin ialah Pengerusi MPN bertaraf Menteri dan Menteri Kewangan adalah Menteri Penyelaras MPN.

Marzuki berkata, selain melapor kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan juga bertanggungjawab melapor secara terus kepada Pengerusi MPN.

“Jadi tidak salah Pengerusi MPN minta laporan daripada Menteri Kewangan dan tidak salah Menteri Kewangan beri laporan kepada Pengerusi MPN.

“Malah, wajib Menteri Kewangan beri laporan bila diminta. Tak boleh bantah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau menambah, sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri, Muhyiddin juga boleh mengumumkan kepada rakyat apa jua laporan yang dikemukakan oleh mana-mana menteri atau kementerian, atau apa-apa butir perbincangan dalam mana-mana mesyuarat MPN.

“Bila diumum, ia tidak lagi menjadi rahsia.

“Kedudukan fiskal negara adalah antara perkara yang dibincangkan di peringkat MPN. Ia sebahagian penting daripada aspek pemulihan negara yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan dan mesti diketahui oleh rakyat.

“Jadi apa sebab nak buat laporan polis?” soalnya.

Ketika berucap pada majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Kota Tinggi malam kelmarin, Muhyiddin tidak menolak akan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang didakwa “tidak semolek” seperti digambarkan.

Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, sekiranya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara yang sudah dirosakkan.

Muhyiddin turut menyatakan laporan tersebut dikemukakan kepada beliau oleh Tengku Zafrul dan beliau akan ‘membocorkan’ kedudukan kewangan negara yang sebenar satu hari ini.

Hari ini, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa Muhyiddin menerima laporan berkaitan kedudukan kewangan negara atas dasar kapasitinya sebagai Pengerusi MPN manakala laporan yang sama turut diberikan kepada menteri-menteri Kabinet tanpa mengira parti.

Menurut beliau, Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID.

Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong dilaporkan membuat laporan polis terhadap ucapan Muhyiddin itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here