PEGUAM hak asasi manusia dan aktivis, Siti Kasim sah akan tanding di kawasan parlimen batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Siti merupakan salah seorang daripada enam individu kumpulan pertama calon Gerak Independent (GERAK) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang diumumkan oleh pertubuhan itu pada Isnin.
GERAK ialah inisiatif bersama yang diketuai Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (MAJU) dengan NGO lain bagi mendesak calon bebas menjadi Ahli Parlimen pada PRU15.
Lima calon lain yang diumumkan oleh oleh gerakan itu adalah bekas Ahli Parlimen UMNO di Sungai Benut, Tawfik Ismail; bekas wartawan, Charles CJ Chow; penduduk Wangsa Maju, Raveentheran Suntheralingam; aktivis KJ John dan peguam yang berpangkalan di Sabah, Roland Cheng.
Dalam pengumuman yang dibuat, calon-calon berkenaan akan bertanding di kawasan-kawasan Parlimen berikut – Batu (Siti Kasim), Petaling Jaya (KJ John), Wangsa Maju (Raveentheran), Subang (Charles) dan Kota Kinabalu (Roland).
Sementara Tawfik tidak mengesahkan kerusi mana beliau akan bertanding, tetapi memberi bayangan kemungkinan di Langkawi, Pagoh, Ampang, Mersing atau Simpang Renggam.
Ditanya kenapa GERAK menyasarkan kerusi dikuasai pembangkang, Siti berkata, gerakan itu mahu bersaing di “tempat kurang berprestasi di mana katak berkembang”.
Siti berkata, GERAK akan meletakkan kira-kira 10 calon untuk PRU15.
“Kami sedang mengenal pasti calon lain dan akan mengumumkan nama mereka kemudian,” katanya dalam sidang media hari ini.
GERAK berkata, ia terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti lain atau individu “sehaluan” untuk meneruskan perjuangannya, dalam usaha menjadikan negara ini lebih adil kepada semua.
Orang ramai boleh melihat profil calon di aplikasi mudah alih GERAK (Gerak App), demi meningkatkan komunikasi antara rakyat dan calon bebas. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.