Jho Low berpesta seperti “tiada hari esok”, berhabis lebih RM1 juta untuk DiCaprio, Paris Hilton – Laporan 

0
513

SEJUMLAH AS$250,000 (RM1.046 juta) dilaporkan telah dibelanjakan untuk Leonardo DiCaprio, selain perbelanjaan hiburan mencecah sehingga AS$385,773 (RM1.616 juta) dan AS$5,000 (RM20,926) dihabiskan untuk model-model terkenal.

Itu adalah antara butiran perbelanjaan yang dibacakan oleh pihak pendakwaan dalam sesi perbicaraan membabitkan bekas Ketua Pelaburan Perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng.

Ng, 49, yang berdepan pertuduhan konspirasi berkaitan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah mendengar hujahan saksi pada Selasa yang menggambarkan bagaimana berjuta ringgit yang didakwa diseleweng dalam skandal 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB) telah digunakan untuk menjalani kehidupan mewah dan luar biasa.

Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, mendengar pertuduhan berkenaan invois daripada majlis keraian dihoskan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low di Las Vegas, antara lain membabitkan makanan, minuman dan “model terkemuka”, yang perbelanjaannya didakwa melebihi AS$3.6 juta (RM15.67 juta).

Memetik laporan Astro Awani, Perbelanjaan hiburan itu termasuk 65 botol minuman keras Cristal Champagne dengan harga kira-kira AS$100,000 (RM418,530) dan tip kepada pelayan bar sehingga AS$38,955 (RM163,038).

Ng, satu-satunya bekas pekerja Goldman Sachs yang dibicarakan di AS atas skandal itu, didakwa bersubahat melanggar undang-undang antipengubahan wang haram AS yang membabitkan berbilion dolar daripada dana 1MDB.

Perbicaraan kes Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn itu dijangka mengambil masa sehingga enam minggu.

Skandal itu dikatakan berpunca daripada bon kira-kira AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion) yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pihak pendakwa raya juga melihat beberapa perbelanjaan besar telah dibuat kepada selebriti melibatkan kos sehingga:

DiCaprio: AS$250,000

Paris Hilton: AS$100,000

Megan Fox: AS$250,000

Kim Kardashian: AS$50,000.

Pada asasnya, panel diberitahu, Low berpesta seperti “tiada hari esok”.Low, yang didakwa bersama Ng pada 2018, belum ditahan oleh pihak berkuasa AS atau Malaysia dan dia dilaporkan berada di Beijing, namun dinafikan oleh China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here