Polis tahan lima lelaki terlibat kes tetak di Benut

0
456

Oleh RAHIMI MOHAMAD

LIMA suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian menetak tangan seorang lelaki di sebuah restoran di Bandar Benut, Pontian kelmarin ditahan polis.

Penahanan kelima-lima suspek lelaki itu berjaya dilakukan dalam tempoh 48 jam di tiga lokasi berasingan di daerah itu dan Batu Pahat.

Tangkapan pertama melibatkan dua suspek dilakukan di tepi jalan di bandar Pontian pada pukul 10 pagi, semalam bersama kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, siasatan lanjut oleh polis membawa kepada penahanan dua lagi lelaki pada pukul 12.15 tengah malam tadi di Pekan Yong Peng, Batu Pahat .

“Selepas itu, seorang lagi lelaki ditahan di Benut pada pukul 6.30 pagi ini, menjadikan kesemua lima orang terlibat dengan kejadian tersebut berjaya ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mohammad Shofee, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun dengan dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Turut dirampas tiga bilah pedang yang digunakan dalam kejadian tersebut dan mereka telah ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.” ujarnya.

Jelas beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, seorang lelaki mengalami kecederaan parah di tangan kanan apabila ditetak di sebuah restoran di Bandar Pontian oleh dua lelaki yang menaiki kereta Toyota Alphard berwarna putih.

Bagaimanapun ketika pasukan polis tiba di lokasi kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke hospital dan semakan nombor pendaftaran kenderaan mewah tersebut adalah palsu.

Sementara itu, Mohammad Shofee turut menghargai bantuan orang awam serta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut sehingga suspek berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian dalam masa singkat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here