Tiga ADUN Sarawak dikuarantin terlepas angkat sumpah

0
427

TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini selepas dua daripada mereka positif Covid-19 manakala seorang lagi menjadi kontak rapat.

Wakil rakyat yang disahkan positif Covid-19 berkenaan ialah ADUN Kuala Rajang yang juga Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Salleh dan ADUN Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Sementara Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pula dikuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada kes positif.

Berikutan itu, hanya 79 daripada 82 Adun yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada 18 Disember lalu mengangkat sumpah, hari ini.

Upacara angkat sumpah berlangsung di hadapan Speaker Dun Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, lapor Harian Metro.

Ketua Menteri yang juga ADUN Gedong, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mendahului upacara itu disusuli tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Adun Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Adun Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Adun Batu Kawa, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

Upacara itu kemudian diteruskan dengan angkat sumpah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang disusuli semua ADUN termasuk 16 muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta enam wakil pembangkang iaitu empat ADUN Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua ADUN DAP.

Majlis angkat sumpah kesemua ADUN itu menjadi pembuka Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dun Sarawak ke-19 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini.

Tiada upacara perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada persidangan kali ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here