Kerana pemancing cuai, kucing menderita makan umpan terselit mata kail

0
557

AKIBAT kelalaian kaki pancing meninggalkan keratan ikan pada mata kail, lapan ekor kucing terpaksa menahan kesakitan apabila mata kail tersangkut pada lidahnya.

Malah, usaha mengeluarkan mata kail berkenaan terpaksa dilakukan dengan mengeluarkan sedikit bayaran selepas mendapat rawatan di klinik haiwan.

Itulah pengalaman Ros Haliza Roslan, 40, yang menetap di Kampung Pantai Bernas, Rompin, Pahang dalam tempoh dua tahun.

“Dalam tempoh dua tahun, saya sudah jumpa lapan kes kucing jalanan tersangkut mata kail pada lidah akibat termakan keratan ikan umpan yang ditinggalkan kaki pancing sekitar jeti Kampung Pantai Bernas.

“Haiwan terbabit terpaksa menanggung kesakitan apabila mata kail bersaiz sederhana itu tersangkut pada lidahnya, dan usaha mengeluarkan mata kail berkenaan terpaksa dilakukan dengan mengeluarkan sedikit bayaran,” katanya memetik laporan BHOnline.

Katanya, dia terpaksa membawa kucing yang cedera bertemu doktor di klinik Pejabat Veterina Daerah Rompin bagi mencabut mata kail yang tersangkut pada lidah haiwan terbabit, bayaran antara RM10 hingga RM20 dikenakan.

“Tahun lalu ada lima kes kucing terkena mata kail ditemui dan dalam tempoh dua bulan tahun ini tiga kes sudah dikesan, tidak mustahil kejadian sama terus berulang sekiranya tiada kesedaran dalam kaki pancing.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab pemancing yang meninggalkan keratan ikan umpan memancing bersama mata kail menjadi punca kejadian itu.

“Tali pancing yang ada pada mata kail keluar dari mulut kucing menjadi tanda haiwan terbabit termakan mata kail,” katanya yang terkilan dengan sikap cuai kaki pancing.

Tambahnya, pernah berlaku kejadian seorang pemancing bermurah hati memberinya wang RM100 dan meminta dia menghantar seekor kucing yang termakan mata kail memancing ke klinik.

Beliau menambah, proses membuang mata kail pada lidah kucing di klinik mengambil masa antara lima hingga 10 minit, haiwan terbabit terlebih dahulu perlu dibiuskan bagi mengelak ia bertindak menyerang.

Tambahnya lagi, jeti Kampung Pantai Bernas menjadi tumpuan pemancing pada hujung minggu, perairan di situ terdapat pelbagai jenis ikan. Jeti berkenaan juga menjadi lokasi pendaratan pemancing laut dalam hampir setiap minggu.

“Saya merayu pemancing di jeti Kampung Pantai Bernas supaya tidak bertindak membuang keratan umpan ikan yang masih terdapat mata kail, perbuatan berkenaan mengundang kecederaan pada kucing yang memakannya.

“Setiap hari saya menyediakan ikan tongkol rebus untuk hidangan kira-kira 23 ekor kucing jalanan di kawasan jeti Kampung Pantai Bernas, ketika memberi makan saya berpeluang melihat kucing yang terkena mata kail untuk diberi rawatan.

“Saya tidak sanggup melihat haiwan manja itu menanggung kesakitan hingga menyebabkan tidak boleh makan, sebab itu rawatan segera perlu diberikan,” katanya yang juga menjalankan perniagaan kedai runcit. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here