Big Stage: Iqbal peserta pertama kena singkir

0
560

MENEPATI ramalan ramai, Iqbal Zulkefli menjadi peserta pertama yang disingkirkan daripada pertandingan Big Stage 2022 yang berlangsung malam tadi.

Dia yang gagal memberikan persembahan yang memberangsangkan bukan sahaja gagal mendapatkan markah tinggi dan menerima kritikan pedas daripada Ajai selaku juri tetap.

“Kamu tak berbakat dalam nyanyian. Bakat ini adalah pemberian. Walaupun berduit, tapi bakat tak boleh beli dengan duit. Allah yang kurniakan,” kata Ajai.

Iqbal yang membawakan lagu Ketahuan daripada kumpulan Matta hanya mendapat 4 peratus markah daripada juri berkenaan.

Tambahnya lagi, nyanyian yang dipersembahkan juga berterabur dan membuktikan dia tidak boleh menyanyi dengan baik.

“Awak tak dilahirkan sebagai penyanyi. Allah maha adil, dia berikan rezeki lain-lain. Mula-mula saya beri lima tapi nyanyian belakang terabur. Awak pun tahu, tempo terabur.

“Dalam nyanyian bukan tiga hari belajar terus pandai. Ada orang bertahun belajar untuk dapat ilmu. Kepentingan dekat sini, bakat dulu. Saya tak suka benda ini jadi bahan lawak. Awak perlu jaga maruah,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula memberikan 20 markah selain 10 markah daripada Aina Abdul selaku juri jemputan.

Dalam konsert yang berlangsung pada Ahad itu, Elica Paujin mengungguli kedudukan di tempat pertama manakala Daniel Chuer pula tidak membuat persembahan kerana tidak sihat.

Terdahulu, Big Stage 2022 mendapat kritikan hebat kerana menjemput Iqbal sebagai salah seorang peserta kali ini.

Latar belakannya yang bukan datang dalam kalangan penyanyi membuatkan ramai beranggapan penyertaannya hanya untuk merosakkan industri seni semata-mata.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here