Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS

0
454

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hilang jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama parti itu. 

Kurang sebulan lalu, Mohd Khairuddin digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. 

Abdul Hadi berkata, pengguguran jawatan Mohd Khairuddin itu berkuat kuasa semalam.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat PAS berikutan masalah disiplin bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

“Oleh kerana pelantikan beliau (Mohd Khairuddin) (dalam) Majlis Syura (Ulama) oleh Jawatankuasa PAS Pusat, maka PAS Pusat membatalkan perlantikan itu. 

“(Beliau) tak jadi Ahli Majlis Syura Ulama (kerana) nak jadi Setiausaha Majlis Syura Ulama mesti Ahli Majlis Syura, maka gugurlah (beliau) daripada Majlis Syura dan Setiausaha Majlis Syura.

“Beliau sekarang hanya ahli biasa dan pemecatan dibuat kerana masalah disiplin dan kita akan melantik individu lain bagi mengisi kekosongan itu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di Marang, Terengganu, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here