Penunggang motosikal maut tercampak ke dalam gaung

0
287

SEORANG lelaki maut selepas tercampak ke gaung, sejurus motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di KM 29 Jalan Keramat Pulai- Cameron Highlands, di Ipoh, Perak, kelmarin. 

Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis SYM Jetx yang ditunggang lelaki itu dari arah Cameron Highlands menghala Simpang Pulai hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan berlaku pertembungan antara motosikal berkenaan dengan MPV jenis Perodua Alza, dipandu lelaki berusia lingkungan 40 tahun. 

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit tercampak ke dalam gaung sebelah kiri jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Keadaan jalan di tempat kejadian adalah jalan lurus menuruni bukit, landai, mempunyai garisan tengah berkembar, rata berturap dan kering. Keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik dan cerah di waktu siang,” katanya ketika memetik laporan Berita Harian ketika dihubungi awal pagi tadi. 

Beliau berkata, pemandu perodua Alza itu bagaimanapun, tidak mengalami kecederaan dan tiada tangkapan dibuat bagi kes ini.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menjalani bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular sebuah video rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) berdurasi 58 saat sejak semalam memaparkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang individu merempuh bahagian hadapan kenderaan yang dipasang dashcam terbabit. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here