PERBALAHAN yang berlaku dalam Kumpulan Search sehingga anggota kumpulan rock legenda itu kini terbahagi kepada dua mengecewakan vokalis utama kumpulan Wings, Datuk Awie.
Difahamkan antara punca pertelingkahan kumpulan legenda tersebut adalah penggunaan nama kumpulan itu sendiri iaitu ‘Search’.
Menurut Awie, mereka yang memutuskan untuk keluar daripada kumpulan tidak seharusnya bertelingkah untuk menggunakan nama kumpulan yang ditinggalkan.
“Yang dah keluar tu keluarlah, tinggallah yang Search yang sedia ada. Itulah Search pada saya. Kamu dah umum keluar tapi kamu nak ambil nama tu, mana boleh. Dah keluar, buat nama baru,” katanya seperti dilaporkan portal hiburan Gempak.
Awie menjelaskan, soal hak cipta tidak timbul memandangkan kumpulan-kumpulan lama tidak pernah mengalami isu sebegini.
“Hanya orang tamak sahaja kecoh pasal ni, orang lain takda kecoh. Kalau tengok Alleycats, Carefree, Revolvers, Sweet Chartity – tiada pun orang sibuk pasal nama. Yang ni kita pelik.
“Kalau dia nak pegang nama itu untuk kepentingan masa depan, itu lain. Dia akan register nama tersebut. Kalau company yang register, nama itu menjadi hak milik company. Kalau dia nak rebut, dia kena berbincang dengan siapa yang cipta nama kumpulan dan register, supaya sesiapa tidak boleh claim,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Awie memberi contoh dirinya yang pernah keluar daripada Wings, tetapi tidak terlibat dalam polemik seperti Search.
“Saya yang bagi nama Wings dan saya pernah keluar daripada kumpulan. Tapi saya tak bising soal nama. Kamu nak cari makan, saya pun nak cari makan. Apa yang teruk sangat nak gaduh pasal nama ni?
“Kamu tiada kekuatan nama lain ke? Nama kamu sendiri tak kuat ke? Kamu tiada populariti ke? Kamu dah ada populariti, kamu bawalah populariti itu untuk bina satu perkara baharu. Kamu nak guna nama itu juga lepas tu nak hukum kawan-kawan nak bunuh kawan-kawan. Apa faedah ni? Takda faedah.
“Kami pun ada anggota yang keluar, dia masih guna nama belakang Wings. Ada kami bising? Kami ketawa jelah…” ujar Awie.
Tambah Awie, sebagai artis yang lebih ‘junior’, beliau melihat hal seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan industri hiburan di Malaysia sangatlah kecil.
“Kami sudah anggap mereka itu seperti abang kami. Jadi kita sangat kecewa kerana dah tua pun mereka boleh jadi tamak haloba.
“Dek kerana nama sahaja dan bukan ada harta pun? Kecewalah, sepatutnya hal sebegini tidak berlaku. Masing-masing nak cari makan, Malaysia ni kecil pusing-pusing jumpa orang yang sama,” katanya.
Terdahulu, sejak beberapa minggu lalu nama kumpulan rock lagenda tanah air, Search menjadi topik perbualan hangat terutama kepada peminat lagu rock era 80-90an.
Ia susulan kumpulan Search kini sudah berpecah menjadi dua kumpulan berbeza. Kedua-duanya menggunakan nama Search, yang beza cuma ‘line-up’ mereka. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.