[VIDEO] Muzakarah PAS-Bersatu nafas baharu politik Malaysia

0
423

PELAKSANAAN muzakarah antara dua parti sekutu Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilihat sedikit sebanyak mampu menggugat keyakinan UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Felo Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr. Hamidin Abd Hamid berkata, perkara itu boleh berlaku di Johor apabila muzakarah Pas-Bersatu disifatkan sebagai satu startegi yang efektif dalam mendapatkan pengundi terutamanya pengundi Melayu, atas pagar dan juga muda.

“Intipati muzakarah itu merupakan satu nafas baharu di dalam landskap politik Malaysia. Mereka ingin mengasingkan diri mereka daripada parti-parti yang dalam pandangan awam mengamalkan korupsi, kleptokrasi, berdepan dengan kes mahkamah dan sebagainya.

“Jelaslah Pas dan Bersatu tidak mahu ada kerjasama atau kaitan dengan parti sedemikian. Ini satu strategi untuk menarik minat pengundi Melayu dan juga pengundi atas pagar yang mementingkan soal ingtegriti, kleptokrasi dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambahnya, strategi sedemikian bersifat relevan apabila kancah politik di negara ini terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), soal integriti dan urus tadbir yang baik daripada sesebuah parti sudah mula menjadi tumpuan masyarakat.

Justeru katanya, PN mampu memberi saingan yang sengit kepada UMNO dalam menarik undi orang Melayu biarpun beliau akui pakatan parti itu masih akan berdepan situasi sukar untuk mengatasi UMNO yang mempunyai pengundi tegar dalam jumlah yang besar.

“Walaupun berlakunya muzakarah Pas-Bersatu, saya kira masih sukar untuk mereka menawan Johor tanpa kerjasama dengan kumpulan parti Melayu yang lain. Jangan kita lupa parti seperti PKR, Pejuang, Amanah dan sebagainya juga mampu menarik undi orang Melayu.

“Bagaimanapun saya kira, ia akan memberikan saingan yang sengit (kepada UMNO). UMNO tidak akan begitu mudah untuk mendapatkan pengundi Melayu kerana sudah ada persaingan. PH juga mengalami situasi sukar dalam menarik undi Melayu kerana sudah adanya Perikatan Nasional,” ulasnya.

Sementara itu Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berpandangan, muzakarah berkenaan yang menekankan kejujuran, kestabilan dan perpaduan inklusif merupakan intipati utama yang perlu ditekankan oleh semua ahli politik masa ini.

“Isu kejujuran ini adalah perkara utama di dalam soal politik negara. Keadaan menjadi semakin tidak menentu apabila ada dalam kelompok pemimpin politik yang tidak ikhlas dalam menjalin hubungan biarpun bersama-sama berada dalam Kerajaan.

Menurut jangkaan beliau, muzakarah Pas-Bersatu dikatakan akan mengukuhkan PN serta mampu mengubah senario PRN Johor dengan menyifatkan kemenangan UMNO di Melaka adalah kerana masih belum ada gabungan parti yang mampu menundukkan mereka.

“Yang lebih penting ialah bagaimana Bersatu-Pas harus memastikan gabungan PN dapat menarik perhatian anak muda. Mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dengan memerangi rasuah dan salah guna kuasa harus menjadi tumpuan utama selain merangka agenda bagi kesejahteraan rakyat,” ulasnya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here