Dr Mahathir masih jalani proses rawatan pemulihan di IJN

0
480

TUN Dr Mahathir Mohamad masih menjalani proses rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, menurut Pejabat Tun Dr Mahathir.

Pejabat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekas Perdana Menteri itu telah dibenarkan pulang ke rumah pada 2 Februari lepas dan kemudian kembali ke IJN untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

“Yang Amat Berbahagia Tun (Dr Mahathir) dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menyampaikan ucapan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan dari orang ramai,” menurut kenyataan tersebut.

Pejabat itu turut memaklumkan Dr Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan ketika ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat.

Pada 26 Januari, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan keadaan kesihatan bapanya itu semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa.

Pada 22 Januari pula, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lepas.

Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Januari – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here