[VIDEO] Ibu bapa lega anak-anak divaksin

0
360

KELEGAAN ibu bapa dapat dilihat setelah anak-anak mereka mendapat dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang bermula hari ini.

Ibu bapa yang hadir rata-rata menunjukkan keyakinan terhadap suntikan vaksin itu yang mampu memberi perlindungan kepada anak-anak mereka daripada wabak Covid-19.

Bagaimanapun, tinjauan SatuBerita di PPV Axiata Arena Bukit Jalil mendapati masih tidak ramai ibu bapa yang hadir membawa anak mereka untuk divaksin.

Segelintir ibu bapa yang ditemui berpendapat keputusan untuk memvaksin anak-anak mereka adalah sebagai ikhtiar bagi memastikan kanak-kanak selamat daripada kesan jangkitan Covid-19 dan membantu mengekang penularan wabak itu.

Norliza Harun, 53, berkata, kes Covid-19 yang semakin meningkat hari demi hari telah membuatkan beliau yakin bahawa vaksin kanak-kanak ini adalah berkesan sekurang-kurangnya untuk mengurangkan jangkitan.

“Kanak-kanak punya sistem imunisasi tidak terlalu kuat jadi bila ada vaksin ni bolehlah tingkatkan sistem imunisasi mereka.

“Sekurang-kurangnya kita rasa lega dan selamat sikit bila keluar dengan anak-anak sebab sebelum ini mereka belum divaksin,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Tambahnya, lebih bagus sekiranya ibu bapa di luar sana mempercepatkan vaksin untuk anak-anak mereka kerana ianya bukan sahaja untuk menjaga kesihatan anak-anak malah untuk keselamatan semua pihak.

Senada dengannya, Song Wei Wei, 39, yang memvaksin dua orang anaknya yang berumur 7 dan 5 tahun berpendapat bahawa sebagai ibu bapa seharusnya melindungi anak-anak daripada Covid-19 dengan vaksin.

“Kami baru menerima maklumat berkenaan vaksin anak-anak semalam. Pada masa sama saya berasa teruja dan risau juga disebabkan mereka terlalu muda untuk divaksin.

“Kes Covid-19 semakin meningkat setiap hari, dengan vaksin ini sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit perlindungan kepada kanak-kanak.” jelasnya.

Tambahnya, dia juga bersedia sekiranya anak-anaknya terkena kesan sampingan selepas vaksin seperti demam dan penat kerana ianya merupakan proses yang normal.

Oleh itu, Song Wei berharap ibu-bapa di luar sana membenarkan anak-anak mereka divaksin untuk memberi sekurang-kurangnya perlindungan untuk mereka menempuh era Covid-19 ini.

Sementara itu, Chau Peng, 47, berkata, dia menghantar anaknya untuk divaksin demi keselamatan anaknya dan juga kerana lebih takut terhadap virus berbanding vaksin.

“Saya sememangnya menggalakkan ibu bapa di luar sana untuk mengambil vaksin untuk anak-anak mereka tapi sebagai ibu bapa mereka sendiri tahu sama ada anak mereka berkemampuan atau tidak untuk mengambil vaksin,” katanya.

Selain itu, Loo Se Lin, 39, nekad memberi vaksin kepada anaknya untuk mengelakkan mereka daripada terkesan dengan Covid-19.

“Saya rasa vaksin untuk kanak-kanak ini adalah langkah yang bagus dan kami telah menunggu vaksin untuk kanak-kanak sejak dari dulu lagi.

“Saya juga galakkan ibu bapa di luar sana untuk beri vaksin kepada anak-anak mereka supaya mereka mendapat perlindungan sepenuhnya,” ujarnya.

Terdapat tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kids (PPVKids) boleh dipilih ibu bapa semasa menempah slot janji temu vaksinasi anak mereka di MySejahtera iaitu PPV di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam, Selangor, bermula hari ini.

Selain itu, terdapat 24 lagi PPVKids di sekitar Lembah Klang boleh dipilih untuk vaksinasi kanak-kanak bermula 5 Februari dan senarai PPV tersebut boleh disemak di laman web rasmi atau laman media sosial Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). – SB 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here