SEORANG lelaki dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang dipenjara selama tiga bulan selepas didapati bersalah memiliki dua butir peluru tanpa permit pada bulan lalu.
Tertuduh yang juga seorang tukang masak, Lukman Abdullah, 33, sebelum itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, M. Kalaiarasi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa dan memiliki dua butir peluru berwarna hijau jenis 12-70-32g (N2) tertera tulisan GB Club tanpa mempunyai lesen atau permit sah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.20 petang pada 22 Januari lalu di premis No. 2369, Permatang Berangan, Tasek Gelugor.
Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Majistret turut memberi peluang kepada tertuduh untuk membuat pilihan hukuman sama ada mahu didenda atau dipenjara setelah tertuduh enggan membuat sebarang rayuan.
Sementara itu, Lukman turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu melakukan serangan ke atas seorang lelaki warga Pakistan menggunakan sebilah pedang sepanjang 75 sentimeter.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 6 petang pada hari dan tempat sama.
Kes itu akan disebut semula pada 31 Mac depan sementara menunggu laporan balistik, manakala dia dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000.
Tertuduh turut mengaku bersalah di mahkamah sama bagi dua pertuduhan lain iaitu memasukkan ke dalam badannya sendiri dadah jenis morfin dan methamphetamine.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas di sini kira-kira pukul 1.30 pagi pada 23 Januari lalu.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu sementara menunggu sebutan semula kes pada 31 Mac ini.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Butterworth pula, Lukman mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu cuba membunuh lelaki warga Pakistan dengan menembak sebanyak satu das dengan senjata api jenis Steven 6400 Double Barrel dan memiliki senjata api itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada hari, waktu dan tempat yang sama.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Norhayati Mohamad Yunus bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas kedua-dua pertuduhan sementara kes akan disebut semula pada 31 Mac depan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.