Jangan ikut perasaan dalam mengkritik ilmuan agama dalam media sosial

Oleh RIZQI ZABIDI

ORANG ramai diminta tidak mengikut perasaan dalam mengkritik ulama dan ilmuan di media sosial kerana perbuatan itu tidak selari tuntutan agama.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, ini berikutan dalam Islam, ulama perlu dihormati kerana kepentingannya dalam mendidik manusia.

“Saya nasihatkan agar orang ramai orang ramai tidak sewenang-wenangnya untuk melepaskan perasaan atau emosi dalam media sosial sehingga tidak dapat membezakan siapa yang menjadi sasaran mereka.

“Ulama mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan diangkat darjat mereka dan dimuliakan Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sikap segelintir netizen sering mengkritik ilmu yang disampaikan agamawan dan ulama dalam media sosial.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata masyarakat yang memahami peranan ulama tidak akan bertindak sedemikian kerana perbuatan itu sangat tidak elok dan tidak manis.

Syeikh Fadzil Awang (kanan) melihat Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman (tengah) mencedok lauk untuk dihidangkan kepada orang ramai pada Majlis Penyerahan Zakat Ayam Bismi dan Majlis Perasmian Rumah Makan Percuma

“Ia seperti kata Hasan al-Basri ‘Kalaulah tidak kerana jasa ulama, nescaya tiada bezanya antara manusia dengan haiwan ternakan,” katanya.

Fadzil ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Ayam Bismi dan Majlis Perasmian Rumah Makan Percuma di Simpang Empat Kangkung, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Beliau menerima mok cek zakat perniagaan 2021 sebanyak RM370,000 daripada Presiden Bismi Empire dan Pengasas Ayam Bismi, Jaffri Ahmad.

Zakaria memberitahu, kutipan zakat Kedah bagi tahun 2021 meningkat kepada RM14 juta iaitu sebanyak RM242 juta.

“Walaupun kita tidak mencapai sasaran kita iaitu sebanyak RM244 juta namun pihak saya mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat seluruh negeri Kedah.

“Kita akui zakat perniagaan pada tahun lalu berlaku penurunan kerana banyak syarikat yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan,” katanya. – SB