Makin cengkung, Mira Filzah terima komen negatif

KALAU sudah namanya netizen, segala benda serba tak kena. Itu juga yang dihadapi oleh pelakon Mira Filzah apabila menerima banyak kata-kata negatif yang dilemparkan oleh segelintir pihak kepadanya.

Sejak mengumumkan kehamilan, Mira memang sedikit cengkung dan tubuh badannya susut. Itu juga yang menjadi perhatian peminat yang menegur tentang perubahan tersebut.

“Soalan tentang hal ini sangat banyak. Saya juga menerima banyak komen negatif disebabkan bentuk wajah yang cengkung.

“Banyak juga saya terima komen sebegitu sejak beberapa bulan lalu. Sesetengah orang juga agak kasar,” kata pelakon ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan yang tanyakan oleh peminat melalui Instagram peribadi miliknya.

Jelasnya, perubahan yang dilalui olehnya bukanlah disebabkan oleh alahan awal kehamilan seperti mana yang disangka oleh banyak pihak.

“Alhamdulillah saya tidak mengalami sebarang alahan mahupun ‘morning sickness’ dan kurus ini berlaku dengan sendiri.

“Hendak kata makan dalam kuantiti sedikit rasanya saya nikmati macam-macam makanan. Saya juga tidak kawal langsung tetapi mungkin disebabkan perubahan badan,” jelasnya lagi.

Selain itu, ada juga bertanyakan berkaitan dengan masalah sinus yang dihadapinya selama ini. Mereka bertanya bagaimana dia menghadapinya semasa kehamilan.

“Ya, saya masih mengalaminya. Cuma kalau betul-betul teruk barulah saya makan ubat. Jika tidak saya akan biarkan bersin dan dia akan hilang dengan sendirinya,” jawabnya ringkas.

Dalam beberapa soalan lain yang ditanyakan peminat, dia memberitahu semakin kurang gambar menangkap gambar atau video seperti sebelum ini.

Secara perlahan-lahan pelakon ini sudah mengurangkan hantaran media sosial termasuklah berkaitan gambar peribadi mahupun keluarga.

“Memang saya kurang bergambar sejak beberapa bulan lalu. Bila nak senyum, rasa sangat janggal,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir Astar pada 2020.–SB