Walaupun seperti gumpalan tali, DASH hubungkan 13 susur keluar masuk

0
1728

RATA-RATA daripada kita kebiasaannya mungkin pernah melihat lebuhraya bertingkat sehingga kelihatan seolah-olah gumpalan tali yang terbelit seperti di Bangkok, Thailand atau di Shang Hai, China sekiranya dilihat dari udara.

Lebuhraya seperti itu juga terdapat di Malaysia yang masih dalam proses pembinaan di dalam kawasan Lembah Klang, Selangor.

Lebuhraya yang dikenali sebagai Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) itu menampilkan rupa yang unik jika dilihat dari udara malah, rata-rata menyifatkan persimpangan lebuhraya berkenaan kelihatan seperti hidangan kebanggaan Itali, Spaghetti

Tambahan pula, persimpangan unik dan rumit yang terletak di tengah-tengah Damansara itu turut diberi nama jolokan ‘Spaghetti Link’, menurut satu hantaran di akaun Facebook Prolintas Highways.

Menurut hantaran itu, persimpangan ‘berbelit’ itu akan menghubungkan pengguna dari Kuala Lumpur, Petaling Jaya, dan Sungai Buloh dengan titik tertingginya pada 44.5 meter, bersamaan dengan bangunan 10 tingkat.

Menariknya, DASH merupakan jajaran lebuhraya yang akan bermula dari Puncak Perdana, Seksyen U10 Shah Alam dan akan melalui beberapa kawasan di Lembah Klang seperti Puncak Perdana, Subang, Kota Damansara, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Alam Impian, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.

Menurut laman sesawang rasmi DASH, Lebuhraya itu akan berakhir di Persimpangan Penchala Link, di mana ia akan menghubungkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT).

Menurut Paultan.org, Lebuhraya bertingkat DASH yang dibina dengan panjang keseluruhan pada jarak 20.1 km ini juga mempunyai 13 susur keluar masuk dan turut menyediakan dua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang jajaran lebuhraya itu.

Dalam pada itu, menurut laman rasmi Twitter Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), lebuhraya beritingkat DASH yang mula dibina pada tahun 2016 itu melibatkan kos pembinaan sebanyak RM5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, projek ini dijangka bakal menyuraikan trafik jalan sekitarnya dan mengurangkan kesesakan sebanyak 39% di Persiaran Mohkhtar Dahari, 33% di Jalan Sungai Buloh dan 43% di Persiaran Surian.

Katanya, DASH akan menjadi laluan alternatif yang mampu melancarkan perjalanan pengguna dengan menjimatkan masa perjalanan sehingga 43 minit dan jarak 9.9 kilometer.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here