[VIDEO] Tahun Baharu Cina disambut meriah bukti usaha vaksinasi berjaya – Muhyiddin

0
384

SUASANA sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini disifatkan sudah kembali seperti sebelum pandemik Covid-19 apabila mereka yang menyambut dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perayaan bersama ahli keluarga dalam jumlah yang lebih besar berbanding tahun sebelum ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dapat dicapai ekoran usaha gigih kerajaan dalam memastikan setiap rakyat di negara ini menerima suntikan vaksin bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

“Program pemberian vaksin secara besar-besar menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan Februari tahun lalu menyaksikan sehingga kini lebih 97 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos lengkap.

“Kejayaan program ini membolehkan hampir semua sektor sosial dan ekonomi dibuka sepenuhnya termasuk kebenaran mengadakan majlis-majlis keramaian seperti majlis kahwin dan kenduri-kendara,” katanya.

Tambahnya, pelbagai syor MPN termasuk bantuan bersasar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peluasan pengambilan tenaga kerja asing untuk sektor-sektor ekonomi yang sudah beroperasi serta membuka sempadan negara kepada pelancong luar juga terbukti berjaya merancakkan semula aktiviti ekonomi negara.

Beliau berkata demikian ketika menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau pada Isnin.

“Sambutan ini sangat bermakna bukan sahaja kepada kaum Cina tetapi juga rakyat Malaysia berbilang kaum yang turut meraikannya menerusi amalan makan besar, rumah terbuka atau aktiviti kunjung mengunjung,” katanya dalam hantaran tersebut.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sudah menjadi amalan dan budaya hidup masyarakat disamping bergembira menyambut perayaan berkenaan.

Katanya, beliau yakin bahawa mana-mana sambutan perayaan atau majlis keramaian tidak akan terjejas walau diraikan dengan SOP yang ketat, sebaliknya majlis sedemikian boleh dijalankan dengan lebih selamat dan lancar dengan pematuhan SOP.

“Semoga Tahun Harimau yang disambut tahun ini membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada kita semua selain menjadi simbol kekuatan, keberanian dan kecekalan rakyat Malaysia untuk berhadapan dengan cabaran hari ini dan hari-hari mendatang khususnya pandemik Covid-19 yang masih membelenggu kehidupan kita.

“Raikanlah sambutan ini dengan penuh kegembiraan bersama kaum keluarga, adik beradik dan rakan taulan. Jadikanlah juga sambutan ini sebagai peluang untuk mengeratkan hubungan sesama kita bagi memastikan negara kita terus aman dan harmoni,” katanya lagi.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here