Padah memandu dalam keadaan mabuk

0
222

SEORANG lelaki Orang Asli ditahan polis selepas didapati menunggang motosikal dalam keadaan mabuk di Jalan Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak.

Lelaki itu ditahan dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, suspek yang berasal dari RPS Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan ditahan selepas ujian pernafasan Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati kandungan alkohol dalam badan adalah 57mg/100ml. 

Katanya, ketika ujian EBA dijalankan 1.10 tengah malam, suspek berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah kilang kayu terbabit sedang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, katanya dalam operasi itu yang dijalankan bermula 10 malam hingga 4 pagi itu, sebanyak lima pemeriksaan berkaitan kesalahan mabuk dijalankan.

“Daripada lima ujian saringan awal dengan alat SD2+ yang dijalankan, satu daripadanya positif selain satu turut positif ujian EBA,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Azizan berkata, JSPT Perak mengeluarkan sebanyak 1,446 saman menerusi Op Utama jabatan itu yang dilakukan bersempena Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina, semalam. 

Katanya, sebahagian besar saman dikeluarkan adalah bagi kesalahan memandu laju membabitkan 1,247 saman, disusuli kesalahan berkaitan nombor pendaftaran kenderaan (65), tali pinggang keledar (42), tiada lesen memandu (35), dan lain-lain. 

“Bagi 1,446 kenderaan yang disaman, majoriti daripadanya membabitkan kereta (869), disusuli kenderaan pelbagai guna (182), motosikal (179), dan lain-lain. 

“Untuk 1,247 saman kerana memandu laju, saman yang dikeluarkan adalah POL 170A, manakala 199 saman selebihnya adalah saman jenis POL 257,” katanya. 

Beliau berkata, operasi dijalankan dengan keanggotaan seramai enam pegawai kanan serta 51 anggota lain-lain pangkat JSPT, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membabitkan 12 lokasi di sembilan daerah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here