Tiket persembahan Dolla habis dalam masa 5 minit

0
240

BARU dibuka 5 minit, kumpulan Dolla mencipta sejarah tersendiri apabila tiket untuk menyaksikan persembahan mereka habis dijual dalam tempoh berkenaan.

Mereka yang bakal mengadakan khas menerusi Dolla Mini Showcase menganggap situasi yang dilalui mereka sebagai sesuatu yang luar biasa dan mengujakan.

“Tiket yang dijual pada harga RM35 bagi tempat duduk terhad serta tiket terhad RM55 telah pun habis dijual lima minit selepas diumumkan pada jam 12 tengah hari, 30 Januari 2022.

“Kami berasa sangat gembira kerana akhirnya diberi peluang membuat persembahan kami sendiri khusus buat penggemar dan penyokong kami. Lagi pun, kami ‘puteri’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kami muncul semasa PKP dilaksanakan. Jadi peluang ini sangat berharga,” kata Angel.

Selain Angel, Dolla turut dianggotai oleh Tabby, Shasha dan Sabronzo.

Bakal mengadakan persembahan di Nero Event Space, PJPAC, 1Utama pada 19 Februari depan bagai mencetuskan fenomena tersendiri buat mereka.

Bagi Tabby pula, jualan tiket persembahan yang laris bagai goreng pisang panas membuatkan hatinya sebak sekali gus teruja menunggu tarikh keramat itu.

“Sejujurnya kami benar-benar terkejut dan tidak menyangka tiket kami akan laku dan habis dijual sebegitu cepat iaitu dalam tempoh lima minit sahaja. Jadi kami harap peminat kami khasnya iDolla akan menikmati malam tersebut dengan sepenuh hati apatah lagi ini juga merupakan persembahan secara langsung Dolla pertama kali di depan mereka.

“Tentu saja kami berempat tidak sabar untuk menikmati momen terindah menghibur peminat yang sedari awal lagi memberikan sokongan sepenuh hati,” katanya.

Berkongsi mengenai ilham penganjuran konsert, Syasya berkata, semuanya bermula daripada syarikat rakaman mereka, Universal Music Malaysia.

“Kami memang tak pernah bertemu peminat setia kami yang dikenali sebagai iDolla secara langsung. Gara-gara muncul sewaktu fasa Perintah Kawalan Pergerakan sekitar pertengahan 2019, kami hanya dapat berinteraksi dengan peminat hanya secara online sahaja.

“Sudah tentu ‘showcase’ ini sebagai satu peluang keemasan yang membolehkan Dolla untuk mendekati mereka dan berinteraksi secara langsung,” ulasnya.

Selain persembahan dalam beberapa versi lain serta mutu vokal yang dipertingkatkan, terdapat beberapa kejutan lain bakal dipertontonkan.

“Ada banyak kejutan yang akan kami tampilkan namun kami tak mahu beritahu kerana ia tidak akan jadi istimewa jika kami beritahu sekarang. Jadi nantikan malam persembahah nanti,” tambah Tabby pula. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here