[VIDEO] Puluhan rumah rosak teruk, pokok tumbang akibat ribut, angin pusar di Ipoh

0
469

PENDUDUK di kawasan Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas di Ipoh, Perak mengalami detik amat cemas pada ekoran kejadian ribut dan angin pusar yang kuat pada lewat petang Ahad.

Bencana alam yang berlaku sekitar pukul 6.30 petang itu telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada puluhan buah rumah dan kenderaan di kedua-dua kawasan.

KEADAAN ribut dan angin pusar yang melanda Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di Ipoh, Perak pada lewat petang Ahad.

Angin kuat yang melanda juga telah mengakibatkan puluhan pokok tumbang dan ada antaranya menghempap rumah penduduk di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, setakat jam 8 malam, belum dapat dipastikan jumlah kediaman serta harta benda yang terlibat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian yang berlaku di sekitar Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas pada 6.40 petang.

Katanya, setibanya jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, didapati beberapa batang pokok tumbang dan beberapa rumah mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, kata jurucakap itu, setakat ini tiada berlaku kemalangan jiwa.

ADA antara pokok-pokok yang tumbang akibat ribut dan angin pusar yang melanda Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas menimpa rumah dan kereta penduduk. – Foto JBPM Perak

SatuBerita menerima beberapa video yang menunjukkan kejadian puting beliung menerbangkan atap rumah yang dikatakan berlaku sekitar jam 6.15 petang.

Pihak bomba masih membuat pemantauan di lokasi kejadian di samping beberapa agensi sedang mengambil tindakan untuk membersihkan pokok tumbang, khususnya yang menghalang lalu lintas.

Sementara itu BERNAMA melaporkan kejadian ribut menyebabkan rata-rata penduduk di Kampung Tawas yang kebanyakannya masyarakat Cina sedih kerana bakal menyambut tahun baharu hanya dua hari lagi.

Seorang mangsa Teoh Boh Chee, 60-an, berkata dia terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat pada kira-kira jam 6 petang.

“Saya sedang memasak ketika itu dan melihat sendiri bumbung rumah tercabut lalu diterbangkan angin. Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana Tahun Baharu Cina hanya dua hari lagi, …bagaimana kami hendak menyambutnya dalam keadaan begini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

PULUHAN rumah mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan angin pusar yang melanda Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di Ipoh, Perak pada lewat petang Ahad.

Seorang peniaga Yong Chee Fong, 35, berkata dia bersyukur kerana 10 pelanggan dan beberapa orang pekerja yang berada di kedai makannya terselamat daripada kejadian bumbung runtuh akibat kejadian ribut berkenaan.

“Sudah 10 tahun saya berniaga makanan di sini, tetapi ini pertama kali terjadi ribut yang teruk dan banyak peralatan di kedai rosak,” katanya.

PULUHAN rumah mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan angin pusar yang melanda Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di Ipoh, Perak pada lewat petang Ahad.

Seorang lagi penduduk, Mita Devi, 36, berkata dia melihat sendiri kejadian ‘puting beliung’ yang berlaku kira-kira 20 minit dan menerbangkan atap rumah.

“Saya hanya mampu berdoa agar kami sekeluarga terselamat dan syukurlah rumah kami tidak mengalami kerosakan terlalu teruk,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here