[VIDEO] PKR pakai logo sendiri hanya kelirukan pengundi, tiada nilai tambah – Penganalisis

Keputusan itu disifatkan seperti menonjolkan tiada lagi kesepaduan bersama di dalam PH

0
306

KEPUTUSAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memilih untuk menggunakan logo parti itu sendiri berbanding logo Pakatan Harapan (PH) hanya akan menimbulkan kekeliruan kepada pengundi, malah juga kepada ahli akar umbi gabungan parti berkenaan.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Sivamurugan Pandian menyifatkan keputusan itu tidak akan memberi nilai tambah kepada kerjasama antara parti komponen dalam PH, sebaliknya ia mungkin diputuskan untuk kepentingan politik PKR semata-mata.

“Strategi yang diguna pakai ini mungkin dirasakan memberi kepentingan kepada PKR untuk menang, tetapi bagaimana pula kesan kerjasama antara mereka dengan Amanah dan DAP apabila tidak mahu bersama-sama menggunakan logo PH?

“Sudah pasti pengundi akan keliru dengan keputusan ini sedangkan apa yang perlu dipromosikan adalah logo PH. Bukan sahaja di Johor, tetapi juga untuk PRU akan datang kerana ia sudah didaftarkan sebagai satu parti besar merangkumi pelbagai parti,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambahnya, keputusan itu turut akan memberikan situasi yang sukar kepada parti-parti komponen PH sekiranya ahli akar umbi mula mempersoalkan keikhlasan PKR untuk terus berjuang di bawah bendera yang sama.

Keputusan pada PRN Melaka tahun lalu menyaksikan PH hanya memenangi lima daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dengan DAP menang empat kerusi, Amanah (1) manakala PKR gagal memenangi sebarang kerusi.

Mengulas lanjut, Sivamurugan menyifatkan keputusan untuk menggunakan logo berlainan itu menonjolkan PH seolah-olah sudah tiada kesepaduan bersama selain berpandangan keputusan PRN Melaka turut menjadi salah satu faktor.

“Seolah-olah tidak wujud kesepaduan dan kesepakatan di dalam parti walaupun PKR barangkali melihat bedah siasat selepas gagal memenangi sebarang kerusi di Melaka.

“Mungkin PKR merasakan logo menjadi puncanya. Sedangkan mungkin ada beberapa perkara lain yang harus diusahakan oleh PKR untuk memastikan kemenangan,” ulasnya.

Katanya, keputusan itu yang sedikit sebanyak menonjolkan kerjasama antara parti komponen di dalam PH yang semakin mengecil, semestinya akan memberikan kesan jangka masa panjang kepada kelangsungan gabungan parti berkenaan.

“Kerjasama yang nampaknya semakin mengecil ini akan ada kesannya. Sedangkan apa yang perlu ditonjolkan adalah solidariti untuk membolehkan mereka bergerak bersama.

“Bagaimanakah kempen akan dijalankan di pentas DAP dan Amanah sekiranya PKR menggunakan logonya sendiri? Adakah logo itu dipromosi secara persendirian?

“Kesemua ini perlu diambil kira termasuk pemilihan calon Menteri Besar yang berwibawa sebagai ‘poster boy’ buat mereka. Jika calon ada, logo mana yang akan digunapakai, PKR atau PH?” katanya lagi.—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here