Contohi konsep ‘Saemaul Undong’ majukan kampung – Mahdzir Khalid

0
406


INSTITUSI Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) disaran mencontohi konsep ‘Saemaul Undong’ di Korea Selatan dalam usaha memajukan kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata konsep yang membawa maksud ‘Gerakan Kemajuan Baharu’ yang diperkenalkan bekas Presiden Korea Selatan Park Chung Hee pada tahun 1970 itu berjaya membawa perubahan besar kawasan luar bandar di negara berkenaan.

“Mereka telah mengubah semua kampung-kampung dari atap jerami gandum kepada atap genting dan juga membaik pulih rumah, melatih ketua-ketua kampung dengan istilah membina satu negara bangsa,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Kursus JPKK Dalam Pengendalian Komuniti serta Pembangunan Daerah Padang Terap di Langkawi malam tadi.

Menurutnya Korea Selatan membuktikan peranan besar Ketua Kampung apabila berjaya mengubah landskap dan kehidupan masyarakat luar bandar dalam tempoh dari 1970 hingga 1980, yang dalam fasa itu menyaksikan negara berkenaan mampu meletakkan asas kukuh bagi pembinaan sebuah negara bangsa.

“Pada tahun 2013, mereka sekali lagi melakukan transformasi menerusi cogan kata ‘Kami Menguasai Dunia’ dengan pelbagai jenama peralatan elektronik yang dieksport dan digunakan di seluruh dunia seperti telefon bimbit jenama Samsung dan kereta jenama KIA.

“Mereka dari bangsa yang miskin selepas perang, 50 tahun Korea Selatan membangun menjadi sebuah negara hebat,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here