UMNO kembali ‘dirasuk’ nafsu tamak kuasa, rakus kerusi – Mokhtar Senik

0
284

UMNO disifatkan seperti telah kembali dirasuk oleh sifat terdahulu mereka iaitu tamak kuasa dan rakuskan kerusi apabila parti berkenaan hanya menawarkan empat kerusi kepada Pas sekirnya ingin menjalin kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berkata, UMNO sama sekali telah lupa akan hakikat kemenangan mereka dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini adalah hasil bantuan dan pertolongan Pas.

“UMNO sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka, iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi. UMNO sudah lupa sama sekali dengan kemenangan yang mereka perolehi dalam PRK sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan Pas.

“Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat Umno selain sebuah kekalahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik

Sebelum ini pada Selasa, media melaporkan parti Islam itu pada asalnya berminat untuk meletakkan calon di semua kerusi yang gagal ditawan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu bagi mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun, rundingan itu akhirnya gagal mencapai titik persefahaman apabila Pas ditawarkan untuk bertanding di Johor dengan hanya empat daripada 56 kerusi.

Mengulas lanjut, Mokhtar berpendapat UMNO boleh diberikan lebih kerusi dalam PRN Johor, namun dengan syarat ia tidak sehingga mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Tidak salah jika memberikan Umno lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli Umno lebih ramai daripada keahlian PAS dan Bersatu.

“Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai Umno mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan Bersatu,” ujarnya.


Dalam pada itu, Mokhtar turut menyifatkan BN yang diterajui UMNO pada ketika ini bukan lagi sebuah parti yang perkasa dengan akar umbi yang mendengar kata persidennya.

“Sekarang UMNO zaman Zahid (Hamidi). Zaman ahli dah tak dengar kata presiden. Zaman UMNO dah bermazhab-mazhab. Zaman UMNO dah banyak klusternya. Hakikatnya UMNO belum sihat daripada tumbukan PRU14 yang lalu.


“Pada saya UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi terlalu kuat kerana bila berasa terlalu kuat UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya,” katanya.

Menurut Mokhtar lagi, UMNO seperti sedang terlampau yakin dan berasa kuat biarpun masih belum luka pada PRU-14 masih belum selesai ‘dirawat’.

Ekoran itu, beliau menasihati UMNO agar lebih merendah diri dan menghormati setiakawan dalam berpolitik bagi menguatkan gabungan UMNO-Pas-Bersatu dalam usaha menentang Pakatan Harapan (PH) di Johor.

“Tiada pilihan bagi UMNO selain menguatkan barisan UMNO+Pas+Bersatu. Tapi dengan syarat jangan nak jadi ‘Abang Long’. Setakat jadi ‘Abang Ngah’ tu boleh. Belajar tawaduk dan setiakawan kerana gabungan ketiga-tiga parti gergasi orang Melayu ini sudah cukup untuk menyekat PH kembali berkuasa,” katanya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here