PRN Johor: Tunggu bulan depan, kita umum bertanding atau tidak – Warisan

0
322

PARTI Warisan Sabah (Warisan) mengambil pendekatan untuk memerhatikan situasi semasa terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk bertanding atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti itu juga akan mengadakan perbincangan dengan parti sekutunya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman berkenaan PRN Johor dalam masa terdekat.

“Kita akan lihat keadaan, saya telah arahkan jentera kita di Johor untuk teliti secara mendalam (mengenai PRN).


“Saya juga akan bincang dengan rakan saya, Syed Saddiq daripada MUDA. Beliau dari Johor dan Presiden MUDA, kami tidak ambil mudah (PRN Johor),” katanya seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today.

Tambahnya, beliau turut akan bertemu dan berbincang dengan jenteranya di Johor sebelum membuat pengumuman Februari ini.

Mengulas berkenaan cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerjasama dengan semua parti pembangkang di Johor, Shafie menjelaskan Warisan buat masa ini hanya menumpukan perhatian pada kekuatan parti itu sendiri terlebih dahulu.

“Apa yang penting bagi Warisan kita perkuatkan dulu ‘rumah’ kita. Saya pernah bergabung dengan banyak parti sebelum ini tapi apa jadi? Keadaan negara tidak begitu baik.

“Kita belum putuskan bagaimana kita akan bergerak nanti tetapi Warisan beri pilihan kepada rakyat,” katanya.

Sebanyak 56 kerusi akan dipertandingkan pada PRN Johor yang diberi laluan untuk diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) 22 Januari lalu.

Perkara itu sekaligus menamatkan desas-desus mengenai PRN di negeri berkenaan selepas kematian Ahli DUN Kempas, Datuk Osman Sapian bulan lalu yang menyebabkan perbezaan majoriti antara kerajaan negeri dan pembangkang hanya satu kerusi.

Terdahulu pada Isnin, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi satu kenyataan memaklumkan suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari depan.

Katanya, mesyuarat itu bakal membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here