[VIDEO] Penganggur didakwa bunuh, penggal kepala ibu

0
742

SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor, hari ini, atas pertuduhan membunuh ibunya pada 15 Januari lalu.

Tertuduh, Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Hamidah Ismail, 56.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor, antara jam 8.10 pagi hingga 6.08 petang 15 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kenneth Oon, manakala tertuduh diwakili peguam, Naim Mahmud.

Dalam pada itu, Kenneth memohon kebenaran memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi di Klang untuk dibicarakan sementara menunggu penyediaan laporan forensik, kimia dan bedah siasat.

Naim pula memohon mahkamah membenarkan anak guamnya untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.

Roslizi membenarkan tempoh penyediaan laporan pihak pendakwaan, manakala pembelaan diminta membuat permohonan di Mahkamah Tinggi.

Sebutan semula kes ditetapkan di Mahkamah Majistret sama pada 28 Mac depan.

Baca berita berkaitan: Anak penggal kepala ibu hingga maut

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 56 tahun maut, dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya, di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang Kuala Selangor. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here