Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Aksi mencuit hati ‘wartawan’ cilik lapor penemuan ular sawa di Bukit Selambau -

[VIDEO] Aksi mencuit hati ‘wartawan’ cilik lapor penemuan ular sawa di Bukit Selambau

VIDEO seorang kanak-kanak lelaki yang petah berkata-kata dengan lenggok seperti seorang wartawan ketika ‘melaporkan’ kejadian penemuan seekor ular di Bukit Selambau, Kedah, mendapat perhatian warga maya sehingga tular di media sosial, pada Isnin.

Menerusi video tular itu, kanak-kanak yang memperkenalkan dirinya sebagai Muhammad Haziq itu mencuba sehabis baik untuk tidak terlepas sebarang maklumat ketika melaporkan kejadian berkenaan biarpun dalam keadaan termengah-mengah.

“Beritanya begini, kami sedang mencuci longkang membersihkan kawasan pasaraya Bukit Selambau, kami tidak tahu kenapa air di dalam longkang bertakung tinggi. Kami sangka ada sampah, rupanya ada ular sawa yang sangat besar.

“Kami telah menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk ke lokasi. Kami sedang menunggu APM untuk datang bagi memberikan bantuan kepada kami untuk mengambil ular itu dan bawa ke tempat yang lebih selamat,” katanya menerusi video berkenaan.

Kanak-kanak itu dilihat melaporkan kejadian itu sambil berjalan ke arah lokasi kejadian sebelum menunjukkan binatang reptilia berkenaan yang dipercayai seekor ular sawa yang sedang berehat di dalam sebuah longkang.

“Saya nampak dia besar seperti sedang kenyang, . Kita tak tahu dia makan apa, dia amat-amat besar yang amat dahsyat,” ujarnya lagi.

Video berdurasi 2 minit 47 saat yang dimuat naik oleh salah seorang pengguna Facebook, Putra Mar kini telah mencapai 11 ribu tanda suka, dengan 370 ribu perkongsian sejak lima jam lalu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan celoteh kanak-kanak berkenaan serta memuji kebolehannya yang petah berkata-kata seperti lagak seorang wartawan.

“Bagus budak ni, umur berapa tahun ni? Pandai betul,” ujar Ina Mat Isa di ruangan komen.

“Hahaha… Panjang betul cerita adik, amat-amat dahsyat. Besar nanti jadi wartawan ya,” luah seroang lagi pengguna, Shida Hakim.

“Ada bakat dik… Nanti besar boleh jadi wartawan. Tak semua ada konfiden macam ini,” kata Nurnazliatul Aqilah.

Sementara itu, menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda hari ini, mereka mengesahkan kejadian itu berlaku pada petang Ahad dan tiba di lokasi sekitar jam 7.39 petang.

Mereka memaklumkan telah berjaya menangkap seekor ular sawa batik seberat 30 kilogram dengan panjang berukuran 4 meter sebelum melepaskannya ke habitat asal yang jauh dari kawasan penduduk.-SB