[VIDEO] Vaksin Covid-19 kanak-kanak: Ibu bapa tidak setuju, bimbang kesannya terhadap anak-anak

0
248

GOLONGAN ibu bapa kebanyakannya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memulakan pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula Februari depan.

Baca berita berkaitan: Vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun bermula Februari

Baca berita berkaitan: KKM lulus vaksin Pfizer kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun

Pendirian mereka itu rentetan kebimbangan terhadap kesan sampingan yang akan dihadapi oleh anak-anak mereka apabila program inokulasi tersebut dimulakan selepas negara menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer (kanak-kanak) pada 31 Januari ini.

Ibu bapa yang ditemubual SatuBerita pada Jumaat mencadangkan agar pemberian vaksin itu dilakukan apabila anak-anak mereka berusia 16 tahun ke atas ekoran kebimbangan mereka terhadap kesan sampingan yang dilihat banyak dialami oleh orang dewasa yang menerima suntikan dos penggalak pada ketika ini.

Noor Syahidah Ishak, 40

Bagi Noor Syahidah Ishak, 40, dia berpendapat bahawa vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah tidak bersesuaian memandangkan golongan dewasa kebanyakannya mengalami kesan sampingan selepas menerima vaksin.

“Kita yang dewasa pun ada kesan sampingan selepas vaksin, jadi risau juga kalau anak-anak ni ambil vaksin.

“Kita boleh lihat sendiri keadaan kita selepas disuntik, ada yang demam jadi kesian dekat budak-budak,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Selain itu, Syahidah yang juga merupakan pembantu tabika tetap dengan pendiriannya yang tidak membenarkan anaknya menerima vaksin pada ketika ini. 

“Memang la kalau nak ikutkan kanak-kanak ni memang terdedah juga dengan Covid-19 tapi sebagai ibu-bapa kita kena main peranan dalam membimbing anak-anak supaya terus mematuhi SOP.

“Biarlah anak-anak ini sampai umur 16 tahun ke atas baru ambil vaksin.” jelasnya. 

Zilhayat Aimi Mokhtar, 52

Sementara itu, Zilhayat Aimi Mokhtar, 52, menyatakan bahawa dia sendiri masih tidak yakin dengan vaksin Covid-19 buat kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Perasaan saya masih bercampur baur tapi vaksin ini bagus sebab dia melindungi kanak-kanak  daripada wabak Covid-19 terutamanya di sekolah.

“Tapi saya tengok masih banyak negara yang belum bersedia untuk bagi vaksin kepada kanak-kanak 5 tahun ini,” katanya.

Zilhayat yang juga merupakan seorang guru berkata, sebagai seorang guru ,dia sepatutnya menggalakkan setiap anak muridnya untuk mengambil vaksin.

Namun, sebagai ibu bapa, dia sendiri kurang bersetuju untuk membenarkan anaknya mengambil vaksin.

Zilhayat turut menyatakan, sekiranya dia ingin membenarkan anaknya divaksin, dia perlu menunggu dan melihat kesannya kepada kanak-kanak lain dahulu.

“Macam saya nak ambil vaksin pun saya tunggu orang lain ambil dulu dan tengok keadaan mereka.

“Sehinggalah kerajaan wajibkan pengambilan vaksin buat kakitangan awam baru saya ambil vaksin,” jelasnya.

Tambahnya, terlalu banyak penyebaran berita yang tidak sahih berkaitan dengan vaksin yang telah menyebabkan dirinya berasa keliru dan kurang yakin terhadap vaksin ini.

Norhassiah Kalil, 55

Selain itu, Norhassiah Kalil, 55, yang merupakan seorang suri rumah menyatakan, memandangkan kes Covid-19 pun sudah menurun, jadi lebih baik kita tunggu sehingga mereka mencapai umur yang sepatutnya.

“Tapi kalau perlu vaksin ini, terpaksa la diteruskan sebab takut kanak-kanak ini dijangkiti.

“Lagipun kita jarang dengar kanak-kanak ini dijangkiti wabak ini dan tidakk banyak kes Covid-19 yang melibatkan kanak-kanak,” ujarnya.

Bagaimanapun, Norhassiah bersetuju untuk vaksin kanak-kanak sekiranya vaksin tersebut sememangnya baik untuk kesihatan dan tidak melibatkan agenda lain.

“Kalau vaksin untuk anak-anak memang baik untuk kesihatan dan tiada agenda lain, jadi saya bersetujulah untuk vaksin anak-anak ni.

“Yelah kerajaan ini pun takkan la nak memudaratkan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Norhassiah berpendapat, sekiranya vaksin itu perlu, jadi lebih baik diteruskan kerana mencegah lebih baik daripada merawat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here