Pan Gon ketua jurulatih baharu Harimau Malaya; Mohd Yusoff letak jawatan pengurus pasukan

0
113

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya pada Jumaat bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM telah memutuskan untuk melantik jurulatih dari Republik Korea, Kim Pan Gon sebagai pengendali baharu Harimau Malaya selepas melakukan penilaian menyeluruh ke atas calon-calon dari pelbagai negara termasuk Jepun, negara-negara Eropah, Amerika Latin serta dalam negara.

“FAM berasakan bahawa Pan Gon merupakan calon terbaik untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai jurulatih di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan, selain berada dalam sistem pasukan kebangsaan Republik Korea dalam tempoh empat tahun terakhir ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu pernah mencipta sejarah apabila berjaya membimbing skuad berkenaan meraih pingat emas di East Asian Games 2009 buat kali pertama selain melayakkan pasukan itu selaku empat pasukan terbaik ke pusingan akhir pada East Asian Football Championship pada 2010.

Malah, Pan Gon turut membimbing pasukan kebangsaan Hong Kong mencatatkan empat kemenangan daripada lapan perlawanan dengan dua keputusan seri ketika berdepan China sepanjang saingan Kumpulan C, Kelayakan Piala Dunia 2018 yang berlangsung pada 2015 dan 2016.

“Itu membuktikan bahawa beliau mempunyai kredibiliti dan sentuhan untuk membawa pasukan bimbingannya menandingi pasukan lawan yang lebih kuat,” ujarnya.

Katanya, Pan Gon yang juga merupakan Pengarah Pengarah Pasukan Kebangsaan di Persatuan Bolasepak Korea (KFA) sejak 2018 merupakan individu penting yang melantik ketua jurulatih terkini pasukan itu, Paulo Bento dari Portugal.


Menurutnya, pasukan kebangsaan Korea di bawah kendalian Bento kini berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke Piala Dunia 2022 dengan rekod tanpa kalah sepanjang saingan kelayakan dengan baki lagi empat perlawanan.

“Kemampuan Pan Gon yang fasih berbahasa Inggeris memudahkan beliau untuk berkomunikasi dengan staf kejurulatihan, pegawai, pemain dan media, selain beliau juga memiliki pengetahuan serta cukup memahami budaya bola sepak di Asia dan juga Asia Tenggara,” katanya lagi.

Tambahnya, Pan Gon dijangka tiba di Malaysia pada awal Februari 2022 bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

“Beliau dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hamidin turut mengumumkan peletakan jawatan Datuk Mohd Yusoff Mahadi selaku pengurus pasukan skuad Harimau Malaya.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 di Kelana Jaya, hari ini.

Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

“Datuk Wira Yusoff telah berjumpa dengan saya dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan (sebagai pengurus skuad kebangsaan) dan kita telah terima.

“Beliau ingin menumpukan perhatian kepada Amateur Football League (AFL) dan juga sebagai Timbalan Presiden (FAM),” katanya.

Posisi pengurus skuad kebangsaan itu kini kosong dengan peletakan jawatan oleh Mohd Yusoff dan Hamidin memaklumkan akan menunggu cadangan daripada Pengarah Teknikal, Scott o’ Donell dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi berkenaan perkara itu.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here