Siasat segera isu nasi putih dan kuah untuk murid – Radzi Jidin

0
391

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang menyiasat dakwaan menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hanya menghidangkan nasi putih dan kuah sahaja kepada murid di sebuah sekolah dan tular di media sosial, semalam.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya telah mengarahkan siasatan lanjut dilakukan segera berhubung dakwaan murid sekolah dibekalkan makanan yang tidak sepatutnya melalui program MRT.

Mohd Radzi menegaskan, Kementerian tidak akan sesekali berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid sekolah dan mengarahkan supaya JKM mengenal pasti sekolah terlibat.

“Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenal pasti sekolah yang terlibat.

“KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, tular sebuah gambar yang dikongsikan di Facebook menunjukkan makanan RMT yang hanya berbekalkan nasi putih dan kuah sahaja.

Pemilik akaun Facebook itu mendakwa, cucu saudaranya hanya menerima menu nasi putih serta kuah saja dan mempersoalkan sama ada peruntukan RMT terlalu sedikit sehinggakan pengusaha kantin menyediakan menu makanan tambahan sebegitu kepada murid-murid sekolah rendah.

Perkongsian gambar tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dari orang ramai yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan hidangan RMT tersebut serta mahukan tindakan segera dijalankan KPM. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here