[VIDEO] Mana bantuan banjir?

Penduduk Sri Muda desak kerajaan segera selesaikan isu bantuan kepada mangsa

0
737

SELEPAS lebih sebulan penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor dilanda banjir, majoriti daripada mangsa mendakwa belum menerima bantuan yang dijanjikan walaupun sudah menghantar permohonan.

Seorang daripada mereka, Asmawi Zakaria, 48, berkata, menyatakan bahawa sebahagian besar dari penduduk masih belum menerima sebarang maklumat berhubung status bantuan yang sepatutnya diterima bagi meringankan beban mereka sejak bencana banjir yang berlaku pada 18 Disember 2021.

“Lebih kurang 1,363 orang sahaja yang baru menerima bantuan tersebut pada 11 Januari lalu yang telah diatur oleh pihak Majlis Perbandaran Klang.

“Dari situ kita dapat lihat masih ramai lagi yang sedang menunggu bantuan tersebut dalam keadaan kehidupan yang masih dalam tahap permulaan selepas berlakunya banjir besar,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambahnya, setakat ini dia hanya menerima bantuan dari pihak NGO dan juga sumbangan persendirian daripada orang awam dan masih tiada bantuan daripada pihak kerajaan.

“Selepas daripada kejadian banjir itu, kami diberi arahan untuk mengisi borang bantuan dan saya telah melengkapkan borang tersebut dan menghantar pada 30 Disember 2021.

“Sampai sekarang saya masih lagi menunggu dan menanti, saya juga buat semakan setiap hari di laman web tersebut dan jawapannya masih sama iaitu sedang disemak,” jelasnya.

Oleh itu, Asmawi merasakan bahawa pihak kerajaan sepatutnya lebih prihatin dalam menyelesaikan masalah ini.

“Penduduk-penduduk di sini kebanyakannya berkerja sendiri dan ada yang berniaga, jadi mungkin memerlukan dana-dana itu untuk memulakan hidup mereka semula.

“Jadi minta tolong percepatkan dan permudahkan bantuan kerana terlalu ramai yang sengsara dan terjejas teruk,” ujarnya.

Sementara itu, Muhd Yusri, 48, turut meluahkan tentang bantuan yang sepatutnya diterima pada 17 Januari lalu sebagai hari agihan bantuan bagi kumpulan kedua namun ianya ditunda.

Bagaimanapun, Yusri cuba merujuk kepada pegawai-pegawai tertentu berkenaan isu ini tetapi jawapan yang diterima dari pihak mereka dilihat seperti tidak membantu.

“Bila kita rujuk dengan pegawai-pegawai tertentu mereka kata tengah mesyuarat la dan ada benda-benda yang perlu diproses dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, dia dan penduduk-penduduk juga pernah memberikan cadangan supaya pegawai-pegawai ini datang sendiri dan menyelesaikan masalah-masalah ini namun ianya tidak diendahkan.

“Kita bukan nak memandai-mandai tapi kita cuba membantu, tapi biasalah bila orang bawahan macam kami ni yang bercakap memang mereka ni layan nak taknak je,” ujarnya

Katanya, dia dan penduduk-penduduk yang lain tidak berniat ingin memburukkan kerajaan, tetapi hanya ingin menunjukkan kebenaran.

“Sebelum ini ada juga wartawan yang bertanya sama ada saya berpuas hati atau tidak dengan bantuan yang diberi tapi macam mana saya nak berpuas hati sedangkan saya tak nampak pun bentuk bantuan yang diberi.

“Mana yang diwarwarkan dalam berita katanya 60 ribu permohonan sudah diluluskan sedangkan di Taman Sri Muda ini ada berapa ribu penduduk tapi yang baru diluluskan hanya berapa ratus permohonan,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Aidawati Mohamad, 50, menyatakan bahawa bantuan bagi kumpulan kedua masih lagi belum diterima disebabkan ada yang membuat lebih dari satu permohonan bagi satu alamat.

“Kalau ikut pendapat saya, pihak berwajib sepatutnya buat satu sistem alamat supaya permohonan lain dari alamat yang sama dapat ditapis.

“Jadi tiada masalah bertindih permohonan sebab kesian dekat penduduk-penduduk Taman Sri Muda yang masih belum menerima sebarang bantuan,” katanya

Menurut Aidawati, sumbangan dari segi makanan dan kewangan bagi kumpulan pertama pun baru diterima selepas hampir sebulan menunggu.

Oleh itu, Aidawati berharap pihak atasan tidak menunding jari tetapi turun padang dan melawat rakyat serta fahami apa yang rakyat perlukan.

“Berkenaan dengan borang bantuan, ianya sangat menyusahkan terutamanya kami yang tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak.

“Kalau boleh permudahkan urusan kami dan bawa turun perkerja-perkerja serta buka khemah untuk kami hantar borang di sini,” katanya.

Menurutnya, borang permohonan bantuan tersebut memerlukan salinan kad pengenalan dan sebagainya tetapi bagaimana penduduk ingin mendapatkan salinan-salinan tersebut dengan ketiadaan kenderaan untuk bergerak ditambah dengan kedai-kedai di kawasan tersebut juga turut terjejas disebabkan banjir. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here