Kerajaan salur RM 400 juta hasil petroleum kepada Kelantan sejak dua tahun lalu – Zafrul

0
298

KERAJAAN Persekutuan telah menyalurkan RM400 juta wang hasil petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan sejak dua tahun lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran itu diberikan secara langsung kepada kerajaan negeri, berdasarkan lima peratus hasil petroleum negeri terbabit.

“Bagi tahun lalu kita salurkan RM200 juta dan tahun 2020 juga RM200 juta.

“Pembayaran ini dibuat secara langsung dan 100 peratus disalurkan kepada kerajaan negeri bergantung kepada harga semasa petroleum,” katanya menurut laporan Bernama.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, jumlah pembayaran yang disalurkan ini meningkat berlipat kali ganda berbanding pada tahun 2019 dengan jumlah yang diberikan sebanyak RM28 juta.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM2.39 bilion pada tahun ini, meliputi 351 projek untuk pembangunan negeri Kelantan berbanding RM1.8 bilion dengan 340 projek tahun lalu.

Antara projek berkenaan termasuk pembinaan jambatan Palekbang membabitkan kos RM250 juta, projek mesra rakyat (RM102 juta) dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berjumlah RM483 juta.

“Peruntukan meningkat tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan jumlah projek juga meningkat, yang mana projek pembangunan ini merangkumi projek lama dan baharu,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here