[VIDEO] Selepas motosikal, Abang Viva terima Triton

TEKA teki mengenai ganjaran kereta pacuan empat roda untuk insan tular yang dikenali sebagai ‘Abang Viva’ atau Azwan Omar, 29, terjawab apabila dia menerima Mitsubitshi Triton, semalam.

Hadiah tersebut diberi oleh seorang usahawan kosmetik, Wan Siti Aisyah Wan Hasan yang dikenali Sha Hasan.

Berita baik penerimaan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4), Mitsubishi Triton tersebut dikongsikan melalui satu hantaran di laman Instagram milik usahawan kosmetik tersebut.

“Alhamdulillah, Abang Viva dah terima 4×4 Mits Triction.

“Rezeki dari Allah untuk insan yang baik. Dalam sebulan Mits permudahkan urusan usahawan Sha Hassan dalam urusan pendaftaran untuk Abang Viva,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Dalam masa yang sama, ‘Abang Viva’ turut membuat sesi Facebook Live petang semalam dengan kehadiran Sha Hasan dan suaminya sendiri untuk menyerahkan kenderaan 4X4 itu di rumahnya.

Semasa penyerahan kenderaan itu, turut kelihatan kedua ibu bapa Azwan, menangis kesyukuran kerana anak mereka dikejutkan dengan hadiah yang langsung tidak disangka.

Rata-rata pengguna media sosial mengucapkan tahniah kepada Azwan atas rezeki menerima hadiah kereta pacuan empat roda daripada usahawan itu.

Kereta pacuan empat roda itu adalah hadiah kedua yang diterima ‘Abang Viva’ selepas dia dikhabarkan menerima hadiah sebuah motosikal berkuasa tinggi, Yamaha XJ6 Diversion.

Beberapa keping gambar yang tular di Facebook memaparkan Azwan menerima hadiah sebuah motosikal berkuasa tinggi bernilai RM39,000 dipercayai sumbangan seorang individu. – SB