Terbuka Australia: Nasib Djokovic masih belum pasti

0
407

WALAUPUN Canberra masih belum memutuskan sama ada akan menghantar pulang pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic kerana tidak mendapat vaksin Covid-19, namanya tetap dimasukkan dalam undian perlawanan kejohanan Terbuka Australia pada Khamis.

Djokovic dijadualkan menentang rakan senegaranya, Miomir Kecmanovic, yang menduduki ranking ke-78 dunia, dalam pusingan pembukaan minggu depan walaupun pemain pilihan utama tersebut masih belum dapat dipastikan boleh bertanding atau tidak dalam kejohanan tersebut.

Ketika tiba di Melbourne minggu lalu, visa pemain tenis nombor satu dunia itu dibatalkan setelah pengecualian vaksinnya ditolak dan dia telah mencabar keputusan itu di mahkamah Australia.

Hakim membuat keputusan untuk kemengembalikan visa Djokovic dan membenarkan dia untuk terus kekal di negara tersebut walaupun kerajaan Australia memutuskan untuk menolak permohonan pengecualian vaksin dan dibuatnya.

Tumpuan kini beralih kepada Menteri Imigresen, Alex Hawke, yang mesti memutuskan sama ada akan menghantar pulang bintang tenis itu, sekali gus menolak keputusan hakim tersebut.

Jika pengusiran dilakukan bermakna Djokovic dilarang masuk ke Australia selama tiga tahun.

Spekulasi berhubung pengusiran Djokovic memuncak apabila undian kejohanan itu ditangguhkan selama 75 minit setelah Perdana Menteri Scot Morrison memanggil sidang media selepas mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, undian disambung semula setelah Morrison merujuk isu itu kepada menteri imigresen.

“Ini adalah kuasa peribadi menteri yang boleh dilaksanakan oleh Hawke dan saya tidak bercadang untuk membuat sebarang ulasan lanjut pada masa ini,” kata Morrison.

Australia mempunyai peraturan ketat yang mewajibkan vaksinasi terhadap Covid-19 untuk memasuki negara itu. Kes Djokovic adalah mengenai sama ada dia mempunyai pengecualian yang sah terhadap peraturan tersebut.

Keputusan awal untuk memberikan pengecualian kepada bintang yang tidak divaksinasi itu telah mengundang banyak bantahan.

Ramai merasakan Djokovic diberi layanan istimewa, sedangkan rakyat Australia sendiri telah menghadapi hampir dua tahun kawalan sempadan yang ketat semasa wabak itu.

Timbalan Perdana Menteri, Barnaby Joyce juga merumuskan rasa tidak puas hatinya berhubung isu itu.

“Sebahagian besar rakyat Australia … tidak menyukai idea bahawa individu lain, sama ada mereka pemain tenis atau … Raja Sepanyol atau Ratu England, boleh datang ke sini dan mempunyai set peraturan yang berbeza yang perlu dihadapi oleh semua orang,” katanya.

Pengarah Kejohanan Terbuka Australia, Craig Tiley juga enggan mengulas selepas undian untuk kejohanan itu yang bermula Isnin.

Djokovic, 34, kini dilapor cuba menumpukan perhatiannya pada gelanggang permainan dalam tempoh empat hari sejak dia dibebaskan daripada tahanan imigresen, sambil mengadakan sesi latihan di Rod Laver Arena. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here