Hampir sembilan juta dos penggalak telah diberi – Khairy

0
207

HAMPIR sembilan juta dos penggalak telah pun diberikan di seluruh negara setakat malam Khamis kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di akaun Twitter beliau pada Jumaat.

Menurut beliau, jumlah berkenaan dijangka melepasi angka 10 juta pada minggu hadapan dalam usaha menggalakkan lebih ramai individu memperoleh suntikan dos penggalak.

“Setakat 11.59 malam tadi, hampir sembilan juta dos penggalak telah pun diberikan. Kami menjangkakan angka itu melepasi 10 juta minggu depan.

“Hasil daripada program dos penggalak yang dipercepatkan dan prosedur operasi standard (SOP), kapasiti hospital kekal terkawal walaupun peningkatan kes import varian Omicron,” katanya dalam ciapan berkenaan.

Dalam ciapan berasingan, Khairy turut mengambil contoh Sarawak yang telah mencatatkan penurunan kes positif COVID-19 secara mendadak selepas bermula program dos penggalak.

Kata beliau, sebelum Sarawak memulakan program dos penggalak pada bulan Oktober, kes harian di negeri itu melepasi angka 3,000.

Namun begitu, jumlah tersebut jatuh mendadak dengan kes baharu dicatatkan di Sarawak sejak akhir-akhir ini sekitar dua digit sahaja.

“Sebelum Sarawak memulakan program dos penggalak pada bulan Oktober, kes harian melebihi 3,000.

“Kita dapat lihat kes menurun kepada dua digit dengan setiap indikator juga menurun lebih daripada 90 peratus sejak September,” katanya.

Semalam, hanya 18 kes baharu direkodkan di Sarawak dengan kes mula menurun kepada dua digit sejak 5 Disember tahun lalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here