Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Serbegeth Singh

0
37

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara Serbegeth Singh yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas pemain kebangsaan yang lebih dikenali sebagai Shebby Singh ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak negara,” menurut catatan itu.

Mendiang Shebby semasa zaman kegemilangannya pernah bermain di posisi pertahanan dan beraksi buat skuad kebangsaan dari 1982 hingga 1991, serta pernah beraksi dalam Kejohanan Sukan Asia 1982, 1986 dan 1990.

Shebby juga pernah memenangi pingat emas ketika Sukan SEA 1989 Kuala Lumpur.

Selain itu, mendiang juga beraksi bersama skuad bola sepak Pahang pada era 90-an serta pernah menyarung jersi Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak.

Mendiang juga adalah generasi emas skuad Kuala Lumpur ketika membantu pasukan itu memenangi hatrik Piala Malaysia dari 1987 hingga 1989.

Selepas bersara sebagai pemain, mendiang pernah berkhidmat sebagai Penasihat Global di Blackburn Rovers pada 2012.

Shebby, 61, meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri petang semalam.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here