MRA teruskan bantuan banjir tiga bulan lagi

0
357

MALAYSIA Relief Agency (MRA) menjangkakan bantuan kepada mangsa banjir perlu terus dilaksanakan untuk tempoh sehingga tiga bulan akan datang.

Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, jangkaan itu berdasarkan penilaian semasa impak bencana alam tersebut, meskipun kejadian tersebut sudah berlaku hampir sebulan lalu.

Katanya, berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara, negeri Melaka, Johor dan Pahang masih lagi berada di dalam keadaan berjaga-jaga akibat banjir.

“Hampir 3600 mangsa masih lagi ditempatkan di 48 buah PPS sementara menunggu banjir surut. Kebanyakan mangsa banjir sudah ada yang pulang ke rumah khsuusnya di kawasan Lembah Klang.

“Berdasarkan musibah banjir besar sebelum ini, MRA berpandangan bahawa bantuan banjir ini akan berterusan di dalam tempoh masa sehingga dua atau tiga bulan lagi kerana impaknya adalah meluas.

“Justeru, segala bantuan yang dihulurkan perlu diteruskan secara berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Mohd. Daud berkata, MRA terus melaksanakan operasi menghantar bantuan kepada mereka yang terkesan dengan musibah ini di seluruh negara sejak banjir bermula.

Sehingga 12 Januari 2022, MRA telah beroperasi di 133 lokasi melibatkan 9 buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan Sabah.

Katanya, bantuan yang telah dihulurkan dianggarkan bernilai RM1.2 juta yang berupa bantuan bantuan makanan, sumbangan barangan bantuan banjir, barangan mencuci, perubatan, pakaian, perkhdimatan klinik bergerak dan perkhidmatan mencuci rumah.

Untuk tujuan itu, ujarnya, MRA telah menggerakkan lebih 2800 orang sukarelawan di seluruh negara untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada 35.000 orang mangsa yang terkena musibah banjir di seluruh negara.

“Program “cuci-cuci Celcom – MRA” yang digerakkan di seluruh negara telah membersihkan lebih 170 buah rumah dan 15 bangunan komuniti yang telah ditenggelami air.

“Sebanyak 15 unit generator, 15 unit pam air dan 30 unit jet air beserta ratusan kit kelengkapan mencuci telah ditaja oleh Syarikat Celcom Axiata Sdn Bhd kepada MRA untuk memudahkan pelaksanaan program cuci cuci ini diadakan di seluruh negara,” katanya.

Dr. Mohd. Daud menambah, bagi bantuan berupa makanan, hampir 20,000 pek makanan telah diedarkan kepada mereka yang terkesan di dalam bentuk makanan panas bermasak, pek “ready to eat” dan pek makanan bulanan mengikut kesesuaian.

Jelasnya, sewaktu banjir sedang memuncak, MRA telah melaksanakan program dapur komuniti yang menyediakan 2000 pek makanan bermasak setiap hari untuk diedarkan ke PPS terlibat.

“Selain daripada itu, bantuan barangan bukan makanan seperti toto, bantal, kit kebersihan yang terdiri daripada kelengkapan diri, kit solat, tuala wanita dan lampin kanak kanak dan dewasa juga diedarkan kepada orang awam.

“MRA juga menyerahkan perkakas elektrik dan dapur yang boleh digunakan untuk memasak,” tambahnya.

Dr. Mohd. Daud berkata, melihat kepada kepentingan kesihatan sewaktu banjir, terdapat banyak isu-isu yang melibatkan penyakit berjangkit, wabak dan penyakit bawaan air yang perlu dirawat.

Katanya, terdapat juga pesakit yang mempunyai masalah kronik telah kehilangan ubat-ubatan swaktu berpindah ke PPS.

“Untuk tujuan itu, peranan klinik bergerak anjuran MRA amat-amat diperlukan sepanjang musibah.
MRA telah menggerakkan sebanyak 35 sesi klinik dan telah merawat seramai 1,700 orang pesakit.
Rata-rata pesakit amat berterima kasih di atas perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh doktor dan kakitangan paramedik yang berpengalaman.

“MRA ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada korporat dan yayasan yang telah menyediakan dana bantuan banjir kepada MRA untuk menggerakkan bantuan ke seluruh negara.

“Di antaranya ialah Celcom Axiata Sdn Bhd, Yayasan CIMB, Yayasan UEM, Yayasan NAMA, Yayasan Hasanah, Yayasan OSK, Yayasan at Tarmidhi, Syarikat Uniqlo Malaysia, Corpoate Guarancee Corporation (CGC), Volkswagen, Global Sadaqah dan Yayasan NOAH. MRA berharap kerjasama ini dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.

Dr. Mohd. Daud berkata, memandangkan tempoh bantuan dijangka berterusan sehingga tiga bulan akan datang, MRA mengalu-alukan sumbangan daripada orang perseorangan, yayasan atau korporat.

Sumbangan boleh dibuat melalui akaun CIMB Malaysian Releif Agency Foundation 86-000-59478 atau sila hubungi 03-9174 4672 untuk maklumat lanjut dan pertanyaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here