Lelaki hilang 60 jam ditemui selamat

0
358

SELEPAS hilang kira-kira 60 jam sejak Isnin lalu, seorang lelaki ditemui selamat oleh penduduk kampung dekat kawasan paya berdekatan perkampungan nelayan Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, mangsa Ahmad Zul Mukhriz Zakaria, 22, mangsa ditemui orang awam yang terdengar jeritan meminta tolong dari arah paya itu dan memaklumkan kepada keluarganya.

“Seterusnya bapa mangsa dan penduduk kampung pergi ke lokasi di mana suara itu didengari dan menemui mangsa dalam keadaan lemah dan tidak berpakaian pada jam 8.05 malam.

“Terdapat juga kesan calar di seluruh badan mangsa dan kaki mangsa turut berdarah dan pucat disebabkan berada lama dalam air,” katanya, hari ini.

Ediansha berkata, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk mendapatkan rawatan dan mangsa dilaporkan stabil.

“Mangsa boleh bercakap dan mengingati kejadian dari awal cuma keadaannya masih lemah,” katanya. 

Lelaki berkenaan dilaporkan hilang Isnin lalu jam 12 tengah hari ketika membuang sampah di kampung berkenaan.

Mangsa melarikan diri ke dalam hutan berhampiran perkampungan nelayan di Tok Bali, di sini gara-gara terkejut melihat kereta peronda polis.

Operasi mencari membabitkan 44 anggota penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here