Bogel atas katil: Hakim tuduh wanita buat laporan palsu

0
350

BULAN lalu, seorang wanita yang sudah berkahwin membuat laporan polis mendakwa seorang hakim kanan mencabul kehormatannya apabila berbaring dalam keadaan berbogel di dalam bilik tidur di rumahnya.

Memetik laporan Malaysiakini, kejadian tersebut dikatakan berlaku pada Ogos 2020.

Walau bagaimanapun, beberapa hari kemudian, hakim kanan terbabit membuat laporan polis balas terhadap wanita yang menuduhnya itu.

Beliau mendakwa, wanita terbabit membuat laporan polis palsu terhadapnya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

“Ya, saya mengesahkan bahawa hakim itu juga telah membuat laporan polis terhadap wanita itu.

“Kami masih menyiasat kes itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau menambah, siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, berhubung kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Farouk memberitahu, polis telah merakamkan kenyataan daripada beberapa individu, tetapi tidak menjelaskan secara terperinci.

Semalam, beberapa portal berita melaporkan bahawa polis telah menjalankan siasatan terhadap hakim kanan berkenaan.

Kejadian dikatakan berlaku pada Ogos 2020 ketika hakim berkenaan melawat rumah wanita itu, yang tinggal bersama suaminya.

Free Malaysia Today sebelum ini melaporkan kejadian itu dengan memetik laporan polis yang dilihatnya.

Ia menyatakan hakim terbabit didakwa meminta kebenaran wanita itu untuk menggunakan bilik tidurnya.

Apabila hakim itu tidak keluar dalam masa yang lama, wanita tersebut telah masuk untuk memeriksa sebelum mendapati lelaki itu berbaring di atas katilnya dalam keadaan berbogel.

Lelaki itu dikatakan kemudian keluar dari rumah wanita berkenaan kira-kira pukul 3 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here