Tujuh ahli sindiket tawaran kerja, pelaburan palsu ditahan

0
570


TUJUH ahli sindiket keldai akaun yang menjalankan aktiviti penipuan tawaran kerja dan pelaburan tidak wujud, melibatkan kerugian RM466,380.25, ditahan menerusiĀ Op Akaun Palsu dalam empat serbuan berasingan di dalam dan luar Melaka, baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 40 tahun termasuk pasangan kekasih tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, ditahan di Alor Gajah, Seri Kembangan dan Kajang di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jan lepas.

Beliau berkata seorang tukang kebun berusia 30 tahun telah ditawarkan pekerjaan oleh pasangan kekasih berusia 30 dan 21 tahun itu, sebelum dia diminta menyerahkan kad ATM serta nombor pin kad berkenaan yang akan digunakan sebagai akaun tumpang bagi kegiatan penipuan dan pembelian dalam talian.

Katanya mangsa diberi komisen sebanyak RM300 hingga RM400 sekali bayar untuk satu akaun bank dan mangsa telah menyerahkan dua kad ATM miliknya dan nombor pin kad tersebut kepada suspek.

“Mangsa juga diminta mencari rakan lain yang boleh memberikan kad ATM serta nombor pin akaun bank mereka dan mangsa berjaya mendapatkan lima rakannya yang berminat dengan tawaran daripada sindiket berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Supt E Sundra Rajan.

Abdul Majid berkata tukang kebun itu juga telah dibawa ke sebuah rumah di Seri Kembangan oleh dua ahli sindiket tersebut yang dikenali sebagai Yusri dan Naufal. 

Mangsa kemudiannya berasa curiga lalu membuat laporan polis pada 3 Jan lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata polis telah merampas 58 keping kad ATM pelbagai bank selain beberapa mata wang asing dalam operasi tersebut.

“Kami percaya sindiket penipuan ini melibatkan penipuan rentas negara yang telah aktif sejak Oktober tahun lepas dan sindiket dipercayai didalangi suspek warganegara China yang masih diburu.

“Dengan tertangkapnya ahli sindiket berkenaan, kami percaya sebanyak 36 kes penipuan dalam talian di seluruh negara yang melibatkan kerugian RM466,380.25 berjaya diselesaikan dan tiga kes daripadanya melibatkan kerugian berjumlah RM26,069.22 dilaporkan di Melaka,” katanya.

Menurut Abdul Majid siasatan awal juga mendapati kesemua suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan dadah.

Sementara itu, katanya, penipuan tawaran kerja tidak wujud di Melaka meningkat kepada 76 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.23 juta tahun lepas, berbanding empat kes melibatkan kerugian RM79,700 pada 2020.

Beliau berkata kes penipuan pelaburan tidak wujud pula menurun pada tahun lepas iaitu sebanyak 126 kes, namun nilai kerugiannya meningkat kepada RM6.49 juta, berbanding 259 kes pada 2020 dengan nilai kerugian RM2.87 juta.

“Polis Melaka menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan wang dan buat semakan dahulu dengan pihak Bank Negara atau polis, sekiranya berasa curiga terhadap transaksi yang hendak dilakukan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here